Nabila Huda makin pulih daripada Covid-19

Nabila Huda makin pulih daripada Covid-19

Pelakon itu memberitahu keadaan tubuhnya kembali segar dan semakin baik.

Nabila Huda makin pulih daripada jangkitan Covid-19. (Gambar Instagram)

Selepas mengasingkan diri selama sembilan hari akibat disahkan positif Covid-19, pelakon popular, Nabila Huda memaklumkan dia kini semakin pulih daripada jangkitan itu.

Pelakon terbabit melahirkan rasa syukur dengan perkembangannya itu menerusi satu hantaran terbaru di Instagram.

Anak kepada penyanyi Amy Search itu menjelaskan lebih lanjut bahawa dia kini berasa kembali segar dan kuat sebaik bangun daripada tidur.

Menurut Nabila, walaupun masih belum pulih sepenuhnya tetapi deria bau dan rasanya dilihat semakin baik berbanding sebelum ini.

“Selamat pagi kawan-kawan. Sedikit update (perkembangan terbaru), hari ini adalah hari kesembilan kuarantin.

“Saya semakin pulih dan kuat. Pagi ini bangun badan rasa segar, saya dah boleh bau dan rasa, tetapi belum 100 peratus lagi.

“Namun, saya masih bersyukur. Emosi pun sudah kembali stabil. Saya boleh rasa kulit saya sudah kembali bersinar,” katanya.

Pada masa sama, pelakon itu memaklumkan dia dan suami akan menjalani ujian calitan dilakukan oleh doktor yang datang ke rumah mereka.

Nabila menegaskan, dia akan tetap patuh kepada arahan kerajaan selepas ini dan tidak akan meninggalkan rumah untuk ke mana-mana sekali pun.

“Jadi hari ini doktor akan datang ke rumah untuk buat ujian calitan saya dan suami. Walau apa pun terjadi, saya tidak akan melangkah keluar daripada rumah ini untuk pergi mana-mana.

“Cukuplah kita teraniaya disebabkan manusia yang tidak bertanggungjawab. Saya doakan anda semua dijauhi daripada penyakit jahat ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.