MonoloQue suntik irama gamelan Melayu dalam “Lagenda”

MonoloQue suntik irama gamelan Melayu dalam “Lagenda”

Versi baharu Legenda ini meluaskan elemen penghargaan terhadap para perwira barisan hadapan dan juga wira yang tidak didendang dalam bentuk irama.

Gubahan baharu yang turut menampilkan Orkes Gamelan Pahang DiRaja dan Kimal daripada kumpulan Margasatwa menghasilkan keunikan tersendiri terhadap lagu ciptaan Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Habsah Hassan itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
“Legenda” sebuah lagu malar segar nyanyian Datuk Sheila Majid kini diberi nafas dan interpretasi baharu oleh kumpulan monoloQue dengan suntikan alunan irama gamelan Melayu.

Gubahan baharu yang turut menampilkan Orkes Gamelan Pahang DiRaja dan Kimal daripada kumpulan Margasatwa menghasilkan keunikan tersendiri terhadap lagu ciptaan Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Habsah Hassan itu.

Menurut teraju monoloQue, Khairil Ridzwan Anuar, 44, yang lebih dikenali sebagai Loque, sungguhpun Legenda telah digubah 180 darjah dengan unsur muzik baharu namun saripati jiwa lagu tersebut iaitu irama asal dikekalkan.

Bagi Loque, peluang memperbaharui lagu yang pada asalnya sebuah penghargaan kepada permata seni Tan Sri P.Ramlee ini adalah satu penghormatan.

“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Datuk Sheila Majid yang semestinya tiada tandingannya,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

Namun, dalam keadaan dunia dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai bermula daripada para petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, askar hingga para penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan dan pekerja restoran.

Maka versi baharu Legenda ini meluaskan elemen penghargaan terhadap para perwira-perwira ini dalam bentuk irama.

“Semuanya adalah wira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara. Di kala berhadapan perang halimunan ini, semuanya adalah legenda”, jelas beliau lagi.

Loque juga berharap versi lagu tersebut menjadi petunjuk arah kepada versi asal Datuk Sheila Majid disamping sebagai rujukan terhadap evolusi bunyian Gamelan Melayu.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang merangkap Penerbit Eksekutif album, Datuk Farid Abdul Jalal berkata, Legenda dipilih kerana mempunyai maksud yang jelas dan luas.

“Saya berpendapat bahawa Lagenda versi baharu ini boleh diperluaskan lagi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat.

“Ini termasuklah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memainkan peranan besar dalam evolusi tumbesaran Gamelan Melayu”, katanya.

Legenda dimuatkan dalam sebuah album berkembar yang bertajuk Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) serta boleh didengarkan di platform digital Spotify, Apple Music, Deezer dan Tidal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.