Wira Sungai sedia kerjasama kembalikan maruah khazanah negara

Wira Sungai sedia kerjasama kembalikan maruah khazanah negara

NGO alam sekitar yakin iltizam politik, penguatkuasaan konsisten dan penglibatan akar umbi mampu kembalikan maruah sungai sebagai sumber kehidupan.

sungai
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata isu pencemaran sungai perlu ditangani secara bersepadu dengan pembabitan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Cintai Sungai Malaysia (Wira Sungai) sedia bekerjasama dengan kementerian, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan untuk menjayakan pelan tindakan bersepadu menangani pencemaran sumber air itu.

Pengerusi Zikrullah Ismail berkata, NGO itu yakin dengan iltizam politik, tindakan penguatkuasaan konsisten, dan penglibatan akar umbi mampu mengembalikan maruah sungai sebagai sumber kehidupan dan khazanah negara.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Julai lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata isu pencemaran air sungai perlu ditangani secara bersepadu dengan pembabitan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau yang menjalankan tugas menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata, ia penting memandangkan sektor menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai bukan hanya membabitkan perindustrian tetapi juga sektor lain.

Ia termasuk perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna.

Mengulas lanjut Zikrullah berkata, pihaknya menyokong penuh pendekatan bersepadu digariskan Johari bagi menangani pencemaran sungai yang semakin membimbangkan.

“Sebagaimana ditegaskan menteri, punca pencemaran sungai bukan sekadar dari industri berat, malah turut merangkumi sektor lain. Kenyataan ini sangat bertepatan dengan dapatan lapangan yang kami sendiri hadapi saban tahun di pelbagai sungai utama negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebagai NGO yang aktif dalam advokasi dan pendidikan alam sekitar Wira Sungai menyarankan tindakan penguatkuasaan disertai dengan strategi pencegahan termasuk peningkatan kesedaran komuniti dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)

“Selain itu, penyaluran insentif untuk pemasangan sistem rawatan efluen kecil (DEWATS), penyelarasan pelan tindakan sungai rentas agensi dan negeri serta pemantauan sungai secara digital terbuka yang membolehkan rakyat turut serta dalam penjagaan sumber air,” katanya.

Pihaknya juga menyokong tindakan tegas JAS melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 antaranya pelaksanaan denda sehingga RM10 juta serta penjara mandatori terhadap pesalah berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.