Wira di balik tabir Sidang Kemuncak Asean

Wira di balik tabir Sidang Kemuncak Asean

Sekretariat Induk Logistik Asean muncul sebagai struktur operasi utama yang menyusun dan mengatur segala aspek untuk keseluruhan tempoh Kepengerusian Asean Malaysia 2025.

staff asean kementerian

Sidang Kemuncak Asean ke-46 berlangsung megah di Kuala Lumpur baru-baru ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah membuka mata dunia keupayaan Malaysia memimpin rantau ini dengan penuh wibawa, profesionalisme dan kematangan diplomatik.

Acara bertaraf dunia yang turut disertai oleh Sidang Kemuncak Asean-GCC Kedua dan Asean-GCC-China menyaksikan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berubah menjadi nadi diplomasi Asia Tenggara. Ia menjadi medan di mana pertemuan berprofil tinggi antara pemimpin tertinggi rantau ini berlangsung penuh tertib, tersusun dan penuh diplomasi.

Pujian demi pujian melimpah daripada pemimpin serantau dan antarabangsa. Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, tidak berselindung dalam menyatakan kekagumannya — dengan anggukan dan simbol ‘thumbs up’ sebagai tanda penghormatan kepada usaha Malaysia.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, memuji Malaysia sebagai sebuah ‘energetic and effective Asean Chair’ manakala Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan mereka ‘have confidence in Malaysia’s leadership in steering the region through the current complex and evolving geopolitical landscape’.

Namun, di sebalik semua keghairahan media serta sorotan kamera dan sidang media antarabangsa, tersembunyi satu kisah lain tidak banyak diketahui, iaitu mereka yang bekerja di belakang tabir, mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan demi memastikan nama Malaysia harum di persada dunia. Merekalah wira tidak didendang.

Ditubuhkan secara ad hoc sejak 2023, Sekretariat Induk Logistik Asean (Sila) bukan entiti biasa. Bawah pengawasan langsung Menteri Luar Mohamad Hasan, Sila muncul sebagai struktur operasi utama yang menyusun dan mengatur segala aspek logistik, keselamatan, protokol, penginapan, pengangkutan, fasiliti, media dan banyak lagi untuk keseluruhan tempoh Kepengerusian Asean Malaysia 2025.

Diketuai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin, dan dianggotai hampir 90 pegawai serta kakitangan berpengalaman pelbagai agensi, Sila berfungsi seperti otak dan jantung dalam menggerakkan keseluruhan sistem penganjuran yang kompleks dan mencabar.

Fokus utama Sila adalah menyelaras lebih 300 mesyuarat penting bawah tonggak politik dan keselamatan Asean — merangkumi mesyuarat peringkat pegawai kanan dan menteri luar negeri yang merupakan antara tunjang paling kritikal dalam struktur Asean. Ini termasuklah Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang baru berlalu dan Sidang Kemuncak ke-47 yang dijadualkan pada Oktober 2025.

Setiap butiran kecil diperhalusi — dari pengurusan hotel, pemilihan kenderaan rasmi, kawalan keselamatan ketat, hingga ke peralatan mikrofon dan pencahayaan di dewan-dewan persidangan. Bagi penginapan, hanya hotel bertaraf antarabangsa yang memenuhi kriteria kemudahan moden, keselesaan maksimum dan sistem keselamatan canggih dipilih.

Dari aspek pengangkutan, penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti BMW i7 dan i5 untuk pemimpin utama dan Proton e.MAS7 untuk pegawai kanan bukan sahaja menggambarkan imej negara yang moden, malah sejajar dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ Asean 2025. Malah, hotel juga diarah menyediakan barangan boleh kitar semula dan biodegradasi, memperkukuh iltizam Malaysia dalam agenda hijau global.

Namun, di sebalik kemilau fasiliti ini, cabaran keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Sila tidak bergerak bersendirian. Mereka berganding bahu dengan polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi keselamatan lain bagi membentuk sistem pertahanan berlapis yang menyeluruh dan responsif. Dari kawalan laluan VVIP sehingga persediaan pasukan perubatan kecemasan, semuanya dirancang secara strategik dan dilaksanakan tanpa cela.

Kehebatan Sila tidak hanya pada aspek logistik dan keselamatan, tetapi juga dari sudut kewangan dan integriti. Semua perolehan dibuat mengikut tatacara kewangan yang ketat, melalui tender terbuka atau sebut harga yang kompetitif. Rundingan harga dilakukan dengan teliti demi memastikan setiap sen yang dibelanjakan setimpal dengan kualiti yang diterima. Tiada ruang untuk pembaziran, apatah lagi penyelewengan. Setiap langkah, setiap sen, setiap keputusan dinilai dengan neraca amanah demi menjamin bahawa kejayaan penganjuran ini tidak sesekali mengorbankan prinsip ketelusan.

Sila turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penyediaan khidmat rawatan dan kecemasan. Agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain turut digerakkan bagi memastikan keselesaan awam terpelihara sepenuhnya.

Dalam dunia pascabenar ini, pengurusan komunikasi menjadi aspek penting. Sila merangka strategi media dengan menyeluruh — berkolaborasi bersama Kementerian Komunikasi, Jabatan Penyiaran, Bernama dan media swasta untuk menyampaikan naratif Malaysia secara berkesan. Dalam masa sama, unit pantauan media sosial turut digerakkan bagi menangani berita palsu dan maklumat mengelirukan.

Dalam dunia diplomasi, bukan semua wira berdiri di atas pentas. Ada yang berdiri di lorong gelap dewan, di bilik koordinasi tanpa tingkap, di belakang pintu yang tertutup rapat — menahan lelah, menyeka peluh dan menyusun senyum di saat orang lain sudah pun pulang ke rumah.

Mereka, seperti juga bos mereka, Mohamad, tidak mendambakan kamera, tidak mengejar kredit dan tidak menuntut pujian. Tetapi mereka wajar dikenang kerana tanpa mereka tiada kejayaan yang mungkin diraih.

Kepada seluruh warga Sila, PTD, JKKL, pegawai keselamatan, kakitangan kementerian dan sukarelawan, terima kasih kerana mengangkat nama Malaysia bukan hanya dengan suara, tetapi dengan kerja keras dan semangat juang yang luar biasa. Malaysia bangga dengan anda.

 

Nurulaini Zamhury ialah pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, kampus Sungai Petani, Kedah.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.