Meghan dituduh ‘mengejek’ Ratu Elizabeth dalam panggilan video promosi inisiatif 40×40

Meghan dituduh ‘mengejek’ Ratu Elizabeth dalam panggilan video promosi inisiatif 40×40

40×40 dilancarkan bersempena hari lahir ke-40 Meghan bertujuan membantu wanita kembali bekerja.

Meghan menggunakan video, yang dikongsi di laman web yayasan amalnya Archewell, untuk mempromosi inisiatif 40×40. (Gambar AFP)

Penulis biografi Diraja Britain, Angela Levin mempersoalkan klip video Duchess of Sussex yang disiarkan baru-baru ini sempena hari lahirnya yang ke-40, di mana bekas aktres itu dilihat sedang membuat panggilan video kepada bintang Hollywood Melissa McCarthy dari rumah agamnya yang bernilai 11 juta pound.

Pengarang yang menulis naskah Harry: Conversations with the Prince, menyifatkan Meghan, ibu kepada dua cahayamata itu mempersendakan Tuanku, 95, dan tabiatnya yang gemar minum teh serta tradisi mengenakan topi dan sarung tangan beragam.

Sepanjang 30 saat pertama klip tersebut, Melissa mendakwa dia sedang sibuk dengan tanaman organiknya tanpa menyedari kameranya sudah terpasang untuk panggilan video itu.

“Sekejap ya, saya kembali selepas ini,” katanya kepada duchess, sebelum tampil semula di skrin sambil mengenakan gaun floral, topi beragam dan sarung tangan.

Meghan dalam nada berseloroh berkata “Gaya ini memang lebih sesuai untuk anda,” sambil kedua-duanya menghirup teh dengan set cawan dan piring yang cukup elegan.

Dirakam dikediaman miliknya dan Putera Harry, 36, Meghan menggunakan video, yang dikongsi di laman web yayasan amalnya Archewell, untuk mempromosi inisiatif 40×40 yang menyasar untuk menggalakkan wanita kembali bekerja selepas wabak Covid-19 berakhir.

Levin yang dilihat memberi komen di twitter berkata “Cara dia (Meghan) mengajuk menunjukkan pandangannya terhadap keluarga Diraja.

“Dia sudah dapat apa yang dia mahu dan yakin dia boleh memperbodoh-bodohkan kita. Kita tunggu dan lihat saja pendedahan Harry dalam memoirnya,” kata Levin.

Lain pula komen seorang warganet yang kurang bersetuju dengan Levin. “Ia sepatutnya hanya satu lawak jenaka – bukan mengejek Tuanku. Sekadar pandangan saja,” katanya.

Bersempena kempen 40×40 yang baru dilancarkan itu, Meghan meminta 40 aktivis, atlet, artis dan pemimpin negara untuk menyertai dengan meluangkan 40 minit masa mereka menjadi mentor kepada wanita yang bakal kembali bekerja.

Katanya jutaan wanita cukup terbeban dengan kesan akibat Covid-19 dan memerlukan bantuan untuk mendapatkan kembali momentum untuk bekerja.

Walaupun senarai penuh mentor selebriti yang bakal menyertai inisiatif 40×40 masih belum didedahkan, namun, antara selebriti yang bakal turut serta termasuk Adele, Amanda Gorman, Amanda Nguyen, Deepak Chopra, Dr Ibrahim X Kendi, Gloria Steinem, Jose Andres, Dr Nadine Burke Harris, Sophie Gregoire Trudeau, Stella McCartney dan Melissa McCarthy.

Paling mencuit hati apabila di hujung video tersebut, Harry turut membuat penampilan istimewa dengan berkaca mata hitam sambil menunjukkan bakatnya menjugel bola di luar jendela.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.