
Selebriti terkenal pastinya akan tersinggung atau bengang jika peminat yang bertembung di luar tidak mengenali mereka.
Namun tidak bagi pemerintah England, Ratu Elizabeth yang bijak menyamarkan diri sambil memberikan jawapan yang agak lucu ketika bertembung dengan sekumpulan pelancong.
Sekumpulan pelancong secara tidak sengaja pernah bertanya kepada Ratu Elizabeth, pernahkah dia bertemu dengan ‘dirinya sendiri’ selepas tidak mengecam monarki itu di Balmoral Estate.
Bekas pengawal khas peribadinya, Richard menceritakan sendiri bagaimana sekumpulan pelancong Amerika Syarikat mendekati monarki tersebut ketika dia sedang membawa anjingnya berjalan di sekitar Aberdeenshire.
Elizabeth berjaya menyamar diri apabila mereka mula bersembang dan bertanya adakah dia tinggal berhampiran kawasan itu, lapor the Mirror.
Tuanku menjawab, dia mempunyai sebuah rumah berhampiran sebelum ditanya pernahkah dia ‘bertemu Ratu Elizabeth’.
Richard berkata, Elizabeth dengan selamba menjawab: “Tak pernah, tapi anggota polis ini pernah,” katanya sambil menunjuk kepada Richard.
Bekas pegawai khas yang bertugas selama lebih 30 tahun bersama monarki tersebut berkata kumpulan itu terus berlalu, tanpa menyedari siapa yang baru mereka temui.
Tahun ini, percutian musim panas Bonda Ratu di Balmoral adalah yang pertama tanpa suami tercinta, Putera Philip yang meninggal dunia April lalu.
Ia dianggap sebagai lokasi cukup istimewa buat pasangan itu kerana dia dan Putera Philip pernah menghabiskan sebahagian bulan madu bersama di sana pada 1947.
Kini, biarpun tanpa kehadiran Philip, Elizabeth sering ditemani ahli keluarga yang turut diundang untuk menghabiskan masa bersamanya di Balmoral setiap musim panas.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].