Doktor bimbangkan kesihatan Ratu Elizabeth

Doktor bimbangkan kesihatan Ratu Elizabeth

Anggota keluarga kini berada di sisinya selepas doktor menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan pemimpin Britain berusia 96 tahun itu.

Ratu Elizabeth sekali-sekala mengalami masalah pergerakan sejak lewat tahun lalu, menurut Istana Buckingham sebelum ini. (Gambar AP)
LONDON:
Anggota keluarga Ratu Elizabeth kini berada di sisinya selepas doktor menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan pemimpin Britain berusia 96 tahun itu yang keadaannya kini dipantau secara berterusan.

Ratu Elizabeth – pemerintah paling lama Britain dan yang tertua di dunia – sekali-sekala mengalami masalah pergerakan sejak lewat tahun lalu, menurut Istana Buckingham sebelum ini.

“Susulan penilaian lanjut pagi ini, para doktor bimbangkan kesihatannya dan mencadangkan baginda diletakkan di bawah pemantauan perubatan,” kata istana itu dalam kenyataan, yang turut menambah Ratu Elizabeth kini berehat di istananya di Balmoral.

Putera sulung yang juga waris takhta, Putera Charles dan isterinya Camilla turut berada di Balmoral bersama anak sulungnya Putera William, menurut pegawai istana.

Oktober tahun lalu, Ratu Elizabeth menghabiskan semalaman di hospital selain terpaksa mengurangkan tugas-tugasnya.

Pada Rabu baginda membatalkan mesyuarat dalam talian bersama menteri kanan selepas dinasihatkan supaya berehat oleh doktornya.

Sehari sebelum itu baginda telah melantik Liz Truss sebagai perdana menteri baharu negara itu di Balmoral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.