
Wanita berusia 60 tahun itu, yang bekerja sebagai ketua dasar kanan di jabatan strategi perniagaan, tenaga dan industri United Kingdom, diiktiraf atas khidmat cemerlangnya dalam perkhidmatan awam dan sumbangannya kepada masyarakat British.
MBE, pingat Order of the British Empire peringkat ketiga tertinggi, dikurniakan kepada individu dalam bidang seni atau sains, amal dan/atau perkhidmatan awam.
Skop tugas Chelliah-Manning termasuk pengeluaran Britain daripada Kesatuan Eropah (Brexit) dan pembangunan dasar ketika wabak Covid-19.
Beliau turut diiktiraf atas kerja amalnya; selama tiga tahun, beliau berkhidmat sebagai pengerusi Powerhouse, sebuah organisasi di London untuk wanita kurang upaya pembelajaran dan mental, satu-satunya NGO seumpamanya di negara itu.
Ketika beliau mengambil alih jawatan itu pada 2015, badan amal itu hampir ditutup. Bagaimanapun, bawah bimbingan wanita itu, nasibnya berubah.

Hari ini, badan amal itu terus menjadi talian hayat untuk wanita dengan keperluan khas, menyediakan ruang selamat untuk mereka belajar membaca, menulis dan bercakap.
Chelliah-Manning, yang seterusnya menyumbang kepada BBC Asian Network berhubung isu wanita, bukanlah rakyat Malaysia pertama yang menerima MBE. Tahun lepas, jurupandu pengembaraan dan ahli sejarah tentera yang berpangkalan di Sabah, Tham Yau Kong menerima anugerah itu atas sumbangannya menyelidik dan menjejaki semula laluan Kawad Maut Sandakan-Ranau pada Perang Dunia II.
Detik bermakna
Bekas pelajar SMK Assunta di Selangor itu memberitahu FMT Lifestyle, beliau meluangkan hari Selesanya di Istana Windsor bersama suaminya, warga New Zealand Roger Manning; anak perempuan mereka Maelo; dan adik perempuannya Janet.
Dalam ucapannya di pekarangan kediaman diraja itu selepas upacara penyampaian pingat, Chelliah-Manning mendedikasikan pingatnya kepada mendiang bapanya, John Chelliah, bekas pengarah Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia. Wanita itu memberikan penghargaan kepada bapanya kerana menanam semangat perkhidmatan awam yang tinggi dalam dirinya.
Baginya, menerima pingat MBE daripada Puteri Anne, kakak Raja Charles, menjadi antara detik yang bermakna dalam hidupnya.
“Puteri itu suka bersembang. Baginda meminta saya menerangkan kerja saya (kepadanya),” kata Chelliah-Manning.
“Kemudian saya beritahunya, pada 1970an, ketika baginda dan Ratu Elizabeth membuat kunjungan rasmi ke Malaysia, saya antara murid yang dipilih untuk berdiri di tepi jalan dan melambai kepada perarakan kereta mereka.

“Baginda seolah-olah tidak percaya!” kata Chelliah-Manning, terhibur.
Tambahnya, Puteri Anne memberitahu bahawa baginda seronok datang ke Malaysia ketika itu.
Walaupun baru berusia sembilan tahun ketika itu, hari itu kekal dalam ingatan Chelliah-Manning sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat A-Level di luar negara pada 1981.
“Sekian lama, saya cuba mengimbangkan dua budaya – Barat dan Asia,” katanya tentang tahun-tahun awalnya di UK.
“Itu cabaran sebenarnya kerana anda cuba menyesuaikan diri dengan negara tempat anda tinggal, tetapi anda juga membawa bersama begitu banyak (unsur) tanah air anda.”
Chelliah-Manning, yang memiliki ijazah sarjana dalam hubungan antarabangsa, menghabiskan sebahagian besar usia dewasanya di London, tempat beliau bekerja sebagai wartawan bebas sebelum menyertai perkhidmatan awam 20 tahun lepas.
Walaupun kini memiliki status penduduk tetap Britiain, beliau tidak melepaskan kerakyatan Malaysianya.
“Saya menetap di UK tetapi saya masih rakyat Malaysia. Walaupun setelah 42 tahun berlalu, saya masih sayangkan tanah air saya
“‘Tanah tumpah darahku’ – saya masih boleh menyanyikan ‘Negaraku’. MBE saya ialah kemenangan untuk perwakilan Malaysia,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu dan menjadi duta untuk negara, tidak kira di mana kita berada.
“Jangan sekali-kali lupa asal usul anda, dan sentiasa raikan kepelbagaian budaya kita,” katanya sebagai penutup bicara.
“Ingat – Malaysia boleh, rakyat Malaysia boleh!”