
Drama bersiri ‘Lockdown’ berkisarkan tentang pelbagai ragam dan kisah suka duka rakyat Malaysia untuk meneruskan kehidupan harian dalam norma baharu sepanjang perlaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebanyak 8 buah cerita berbeza dipaparkan dalam 10 buah episod yang diinspirasikan daripada latar sebenar kisah realiti berkenaan situasi sukar yang perlu diharungi oleh segenap masyarakat sejak diuji dengan penularan pandemik Covid-19.
Cerita asal dan skrip drama terbitan syarikat produksi U2 Media Sdn. Bhd. ini diilhamkan oleh pengarah prolifik Erma Fatima serta turut mendapat sentuhan Mohd Fazli Yahya yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini.
”Sebagai penulis skrip untuk drama ini, saya mendapat ilham selepas melihat keadaan sekeliling yang berlaku, melihat kesannya kepada kawan-kawan dan mungkin kita sendiri turut melaluinya.
“Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita tahu dan faham kesakitan tersebut selepas mengikuti berita-berita yang dilaporkan. Itu yang mendorong saya untuk menulis skrip tersebut,” ujar Erma Fatima.
Penceritaan setiap kisah dalam drama ‘Lockdown’ bakal menampilkan lakonan mantap penuh emosi oleh 23 barisan pelakon handalan.
Antara nama-nama besar yang menjayakan naskhah ini termasuklah Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah, Balkisyh Semundur Khan serta ramai lagi.
Drama ‘Lockdown’ akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 26 Julai 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].