
Idea bijak dan bermanfaat yang dikongsi pelakon popular, Mira Filzah mengenai cara menjaga aurat ketika menerima suntikan vaksin, mendapat pujian ramai.
Dia berkongsi tips bijak itu menerusi Instagram Story di akaun media sosialnya itu, baru-baru ini.
Menurutnya, dia mengenakan baju berlengan besar bagi memudahkan ia disingsing untuk pegawai perubatan memberikan suntikan.
Katanya, pada masa sama, dia tetap menjaga auratnya kerana memakai sarung tangan panjang bagi mengelakkan bahagian anggota badan itu terdedah.
“Mira pakai baju lengan besar, senang untuk disingsing tetapi pakai juga sarung tangan panjang.
“Bahagian lengan tidak terdedah. Kebetulan di sini ada seorang pegawai perubatan lelaki dan seorang lagi perempuan. Lega Mira pakai sarung tangan panjang,” tulisnya.
Mira Filzah berkongsi hantaran itu selepas selesai mengambil suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca dan dia memuji keseluruhan proses yang berjalan lancar.
“Proses keseluruhan sangat cekap. Mira sampai sekitar jam 11.35 pagi dan selesai kira-kira jam 1 petang. Tidak terasa begitu lama kerana sentiasa bergerak dari satu kaunter ke kaunter lain,” tulisnya.
Selain itu, dia turut berkongsi satu persatu proses menerima suntikan bermula daripada pendaftaran sehingga proses terakhir.
“Ketika pendaftaran, anda perlu isi borang kebenaran atau persetujuan dan sila bawa pen sendiri. Imbas kod QR di MySejahtera juga.
“Kemudian pegawai perubatan akan bertanya sama ada mempunyai sebarang alahan atau tidak sebelum mereka melakukan suntikan.
“Sebaik selesai, terus ke kaunter seterusnya untuk mendapatkan kad vaksin. Kad ini perlu disimpan dan dibawa semula untuk dos kedua nanti. Selepas itu kita perlu duduk di ruang pemerhatian selama 15 minit untuk melihat keadaan diri selepas suntikan,” tulisnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]