Lagu Gila diangkat sebagai juara AJL35

Lagu Gila diangkat sebagai juara AJL35

Lagu yang dinyanyikan oleh Kaka Azraff, Noki, dan Loca B itu memenangi hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Lagu Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki, dan Loca B dinobatkan sebagai Juara AJL35. (Gambar Facebook)

Lagu Gila ciptaan Noki, Loca B, dan Ezra Kong muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada malam Ahad.

Lagu yang dinyanyikan oleh Kaka Azraff, Noki, dan Loca B itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Sementara, naib juara menjadi milik lagu Semalam ciptaan sepenuhnya dan nyanyian Aina Abdul, membolehkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Manakala, tempat ketiga menjadi milik Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dinyanyikan oleh Datuk Jamal Abdillah bergandingan bersama Wany Hasrita. Kemenangan tersebut menyaksikan mereka berkongsi hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Kehebatan suara penyanyi lagu Gundah, Ernie Zakri melayakkan dia dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Sementara Zizi Kirana pula merangkul Persembahan Terbaik melalui lagu Eh ciptaannya sendiri bersama Navigator dan Mambang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Persembahan finalis AJL35 ini dihakimi oleh panel juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail bersama Azmeer, Ajai, Datuk Syafinaz Selamat, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Datuk Acis, dan Lukhman S.

Kemuncak AJL35 yang pertama kalinya berlangsung tanpa penonton ini menyaksikan Sherry Alhadad bergandingan bersama Haziq Hussni dan Awal Ashaari sebagai pengacara.

AJL35 turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkenal tanahair iaitu Ella, Naim Daniel, Yonnyboii, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Tuju K-Clique, Hujan, Hazama The Penglipur Lara, Akim & The Majistret, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, dan Ziana Zain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.