Kareena dan Saif timang anak kedua

Kareena dan Saif timang anak kedua

Bayi lelaki pasangan itu selamat dilahirkan pagi semalam.

Kareena dan Saif bersama anak sulung mereka, Taimur Ali Khan (Gambar Instagram)

Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor dan suami, Said Ali Khan menyambut kelahiran cahaya mata kedua mereka di Mumbai, India pagi semalam.

Kareena melahirkan bayi lelaki pada jam 9 pagi di Breach Candy Hospital seperti yang dilaporkan IndianExpress.com

Menurut bapanya, Randhir Kapoor kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

Pasangan itu mula dihujani dengan ucapan tahniah sebaik saja kakaknya, Karisma memuat naik gambar lama adiknya (Kareena) ketika bayi yang dipangku bapa mereka di media sosial.

“Itu adik saya ketika dilahirkan dan kini dia sekali lagi bergelar ibu! Saya sekali lagi amat teruja,” tulisnya.

Saat manis itu turut dikongsi oleh salah seorang pereka fesyen, Manish Malhotra dengan ucapan tahniah atas kelahiran bayi kedua pasangan terbabit.

Sebelum itu, Saif dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih di atas ucapan tahniah yang disampaikan kepada mereka.

“Kami dikurniakan dengan bayi lelaki. Ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat. Terima kasih buat semua yang memberi sokongan,” katanya.

Kareena mengumumkan berita kehamilannya pada Ogos menerusi Instagram sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakannya.

“Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami bakal menyambut kelahiran seorang lagi bayi. Terima kasih atas sokongan semua,” katanya.

Kareena dan Saif mempunyai seorang sulung, Taimur Ali Khan berusia empat tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.