Terima kasih Malaysia atas bantuan, sokongan, kata warga Palestin

Terima kasih Malaysia atas bantuan, sokongan, kata warga Palestin

Pesakit Palestin amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia yang memberikan layanan serta rawatan sangat baik kepada mereka.

Dua pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia yang membawa pesakit Palestin dan waris mereka tiba di Pangkalan Udara Subang pada 16 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas bantuan dan sokongan diberikan kepada rakyat Palestin,” kata Banan Salmi Ahmad Abu Ratimah, 28, ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Gadis berasal dari Rafah, Gaza, itu antara 41 rakyat Palestin diiringi 86 waris mereka yang dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lalu bagi menerima rawatan susulan kecederaan akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Peguam di Gaza itu cedera parah di kaki kirinya dan terpaksa diamputasi hingga ke paras lutut, selain luka di tangan akibat serangan roket pemusnah rejim Zionis di kediaman bapa saudaranya pada 7 Okt 2023.

“Dalam kejadian itu, saya dan ibu sedang tidur di rumah pakcik. Pada waktu subuh, kediaman kami tiba-tiba dibom rejim Zionis sehingga ibu dan pakcik saya mati syahid…Saya sangat rindukan Gaza kerana ayah dan abang saya masih berada di sana.

“Terima kasih Malaysia atas bantuan diberikan. Rawatan yang kami terima di sini sangat bagus dan pantas. Saya harap akan mendapat kaki palsu supaya boleh berjalan seperti biasa,” katanya yang sedang menerima rawatan susulan di HAT Tuanku Mizan diiringi kakak sulung dan adik bongsunya.

Pada 16 Ogos lalu, 41 rakyat Palestin cedera akibat serangan Israel di Gaza diiringi 86 waris mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang dengan dua pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menerima rawatan.

Sebelum ini, Menteri Luar, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, rakyat Palestin yang sedang dirawat di Malaysia hanya akan dihantar pulang ke negara mereka apabila keadaan bertambah baik atau sekurang-kurangnya gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.

Sementara itu, Mohamed Sufyan Hassan, 29, yang mengalami cedera di rahang dan paru-paru akibat letupan di sebuah sekolah di Gaza oleh rejim Zionis hingga mengorbankan 70 orang, termasuk datuknya, bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya di Gaza.

Pemandu lori di Gaza itu berkata, sejak tiba di Malaysia, beliau gagal menghubungi isteri dan empat anak lelakinya, iaitu Malik yang berusia enam tahun, Mazin (lima tahun), Sufyan (tiga tahun) dan Abd Rahman (sembilan bulan) berikutan capaian internet lemah di Gaza.

“Tidak boleh digambarkan perasaan ini, sekiranya saya boleh bertemu mereka yang berada di sana, rindu sangat tetapi saya hanya mampu berserah kepada Allah. Saya berharap boleh bawa mereka ke sini untuk menerima rawatan,” katanya yang ditemani ibunya di sini.

Rania Abdel Fattah, 34, yang dirawat susulan kecederaan teruk di bahagian muka, selain patah tangan dan kaki kanan akibat terkena serpihan bom, amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia yang memberikan layanan serta rawatan sangat baik kepada warga Palestin.

Menceritakan tragedi hitam kediamannya dibedil rejim Zionis pada 13 Ramadan lepas, beliau berkata, tiga ahli keluarganya terkorban, kediaman mereka musnah dan suami serta anaknya berusia tiga tahun cedera.

“Saya harap Anwar boleh bantu bawa suami dan anak saya yang masih berada di Gaza untuk menerima rawatan di Malaysia. Anak saya di Gaza mengalami kecederaan teruk di muka, namun tidak berpeluang menjalani rawatan di sini,” katanya sambil menitiskan air mata kerana merindui suami dan anaknya.

Zain Suhail Saad, 10, berkata peluang menjejakkan kaki ke Malaysia amat diimpikan, meskipun kehadirannya untuk menjalani rawatan saja.

“Saya kenal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan tahu mengenai Malaysia melalui internet. Apabila tiba di sini, suasananya sama seperti apa yang saya lihat di telefon. Saya harap peperangan ini akan berakhir supaya ayah saya dapat datang ke sini ambil saya kerana saya rindukan dia,” katanya yang sedang menjalani rawatan dialisis di HAT Tuanku Mizan.

Ibu Zain Suhail, Nisrin Saad, 38, berkata beliau pada mulanya bimbang keselamatan anaknya apabila dipilih menerima rawatan di Malaysia, namun perasaan itu bertukar syukur apabila melihat fasiliti kesihatan di HAT Tuanku Mizan.

Sesi pertemuan bersama warga Palestin itu dibantu penterjemah bahasa Arab, Husna Mardiah Mohamed Radzi, Lukman Hakim Abdul Wahab daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pegawai Agama Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat Malaysia, Ahmad Masykur Salahuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.