Bayi 8 bulan alami pendarahan otak disyaki didera ibu, teman lelaki

Bayi 8 bulan alami pendarahan otak disyaki didera ibu, teman lelaki

Ibu bayi itu dan teman lelakinya kini ditahan reman sehingga 31 Julai, menurut polis.

baby
Bayi lelaki berusia 8 bulan itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
PETALING JAYA:
Seorang bayi berusia lapan bulan mengalami pendarahan otak disyaki akibat didera oleh ibu dan teman lelaki wanita itu.

Bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan sebelum seorang pegawai perubatan membuat laporan pada pagi semalam, menurut Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke klinik swasta sebelum dihantar ke Hospital Pontian dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bayi itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan kini ditidurkan akibat masalah pernafasan.

“Punca bayi tidak sedarkan diri (didapati) kerana mengalami pendarahan otak serta kekurangan oksigen.

“Selain (itu), terdapat kecederaan di dahi dan lebam di bahagian mata, disyaki ada unsur penderaan,” katanya, lapor Bernama.

Susulan itu, kata Mohammad Shofee, ibu bayi tersebut, berusia 26 tahun, ditahan di HSA, manakala teman lelakinya berusia 24 tahun menyerah diri IPD Pontian semalam.

Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman tujuh hari mulai hari ini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.