
Jangan terkejut sekiranya anda melihat pengemis di jalanan yang mengecat seluruh tubuh mereka dengan warna perak.
Tetapi percayalah, pemandangan ini sudah menjadi alah bisa tegal biasa di jalan-jalan beberapa kota utama di Indonesia.
Dikenali sebagai Manusia Perak atau “Lelaki Perak”, mereka adalah pengemis istimewa yang terinspirasi dari penghibur jalanan yang menggunakan cat logam untuk mengubah diri mereka menjadi patung hidup.
“Lelaki Perak” telah menjadi pemandangan yang cukup sinonim di negara Asia Tenggara itu, namun penampilan mereka yang sedemikian tiada hubungan khusus dengan budaya Indonesia.
Difahamkan pengemis memilih untuk berpenampilan begini kerana ia akan membuat mereka lebih menonjol sekali gus meningkatkan peluang untuk mendapat wang.
Untuk mendapatkan penampilan tersebut, kebanyakan Lelaki Perak akan menyembur tubuh mereka dengan cat berpigmen logam, membawa kotak kadbod dan berjalan di celahan kereta di jalan raya yang sibuk, dengan harapan ada yang sudi menderma.
Bagi kebanyakan orang, ia sama seperti satu pekerjaan, demi mencari sesuap nasi.
Kebanjiran Lelaki Perak di Indonesia sejak setahun lalu telah menimbulkan banyak isu dan perhatian dari media tradisional dan sosial.
Perhatian ini juga telah mendorong ramai pengemis biasa untuk menggunakan penampilan logam yang sama, namun jumlah mereka yang semakin ramai telah menyebabkan gangguan.
Menurut laporan media Indonesia baru-baru ini, polis telah mula bertindak ke atas Manusia Perak, dengan menahan dan mendenda mereka supaya tidak lagi mengganggu orang ramai.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]