
Buah pic ialah buah yang sinonim dengan masyarakat Barat. Hampir setiap musim panas, buah pic akan menjadi bahan utama dalam kebanyakan masakan mereka, baik sebagai minuman, pembuka selera, salad mahupun pencuci mulut.
Namun begitu, tahukah anda bahawa buah pic juga mempunyai lambang yang cukup signifikan dalam budaya Timur, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
Buah-buahan sitrus seperti limau, oren, dan pic sebagai lambang kekayaan, kemakmuran, usia panjang dan kesihatan.
Keistimewaan buah pic
Anda pasti terfikir, kenapa buah pic ialah simbol usia panjang dan keabadian? Buah pic, seperti kebanyakan buah sitrus lain memang kaya dengan vitamin C. Juga kaya dengan antioksidan seperti vitamin A dan E serta dipercayai dapat menguatkan sistem imun badan.
Selain itu, buah pic juga kaya dengan potasium, komponen nutrien penting untuk mengawal tekanan darah dan bagus untuk kesihatan otot serta saraf anda.
Masih ada banyak lagi manfaat buah pic yang boleh dibincangkan tetapi lebih baik jika anda mencuba resipi-resipi menarik ini untuk mula ‘jatuh cinta’ dengan buah musim panas yang enak ini.
Bayangkan hari hujung minggu yang panas dan anda mahukan sesuatu yang menyejukkan. Sesuatu yang agak manis tetapi menyegarkan juga.
Apa yang anda mahukan ialah resipi puding paleo buah pic oleh furtherfood.com yang menyihatkan dan enak ini. Tak menyesal mencubanya!
Bahan-Bahan:
a. Puding
- 1 cawan kacang gajus, dipotong menjadi ketulan kecil
- 3 biji buah pic
- 2 sudu besar madu
- 1 sudu teh ekstrak vanila
- 1 sudu besar jus lemon
- 1/2 cawan santan cair
- 1 sudu besar parutan lemon
- 1/4 sudu teh garam laut
b. Hiasan
- 1/4 cawan buah beri (pilihan)
- 1 sudu teh kuah santan pekat
- Daun pudina (pilihan)
Cara-Cara:
1. Masukkan semua bahan ke dalam pengisar makanan.
2. Kisar hingga mencapai konsistensi yang halus. Jika anda mahukan adunan yang lebih pekat, masukkan 1/4 cawan santan lagi. Anda juga boleh meletakkan 1 sudu besar madu lagi.
3. Tuang adunan yang dikisar ke dalam mangkuk hidangan kecil, kemudian simpan di dalam peti sejuk sekurangnya 2 jam.
4. Sebelum menghidang, sediakan kuah santan pekat dengan panaskan sedikit santan dalam kuali di atas api kecil. Masukkan secubit garam dan siap! Mudah dan senang. Tapi, pastikan kuah santan anda tidak pecah, ya. Sejukkan kuah sedikit sebelum tuang di atas puding.
5. Hias puding dengan buah beri dan daun pudina dan tuang sedikit kuah santan yang disediakan tadi.
Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platform dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]