Bapa mogok lapar rayu bekas isteri pulangkan anak

Bapa mogok lapar rayu bekas isteri pulangkan anak

Vincent Fichot akan terus mogok lapar sehingga dua anaknya berusia enam dan empat tahun dikembalikan.

Lelaki warga Perancis, Vincent Fichot yang mendakwa bekas isterinya seorang warga Jepun melarikan anak-anak mereka, berjanji akan mogok lapar sehingga mereka disatukan semula. (Gambar AFP)

Lelaki warga Perancis, Vincent Fichot yang mendakwa bekas isterinya seorang warga Jepun melarikan anak-anak mereka, berjanji akan mogok lapar sehingga mereka disatukan semula. (Gambar AFP)

Seorang lelaki Perancis yang mendakwa anak-anaknya dilarikan bekas isteri warga Jepun melancarkan mogok lapar di Tokyo pada Sabtu.

Vincent Fichot bertindak demikian dengan harapan dapat menarik perhatian antarabangsa dalam perjuangannya untuk bersatu kembali dengan keluarganya.

“Saya kehilangan segala-galanya, saya hilang kerja, rumah dan wang simpanan sejak tiga tahun lalu. Berat saya hanya 80kg sekarang, saya sanggup berikan semuanya,” katanya kepada AFP, yang memilih untuk duduk di pintu masuk sebuah stesen kereta api di Tokyo, tidak jauh dari stadium Olimpik.

Fichot, 39, yang menetap di Jepun sejak 15 tahun lalu berkata dia tidak akan menghentikan mogak lapar itu sehingga anak-anaknya, seorang lelaki dan perempuan berusia enam dan empat tahun dikembalikan kepadanya.

“Sekiranya gagal, saya mahu kerajaan Perancis membuktikan yang mereka serius dan benar-benar mahu mempertahankan anak-anak saya. Mereka akan mengenakan sekatan ke atas Jepun sehingga negara itu bersetuju untuk melindungi hak anak-anak saya.”

Difahamkan bekas isterinya memfailkan dakwaan keganasan rumahtangga ke atas Fichot di mahkamah, namun menarik balik dakwaan itu.

“Semuanya telah saya usahakan, saya cuba meyakinkan isteri bahawa keadaan ini tidak baik untuk anak-anak,” katanya yang tidak tahu sama ada mereka masih hidup.

Dia merancang untuk meneruskan mogok lapar itu siang dan malam, dan jika dihalau polis, dia akan pergi ke tempat lain.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadualkan akan tiba di Tokyo pada akhir bulan ini untuk menghadiri upacara pembukaan Sukan Olimpik.

Ketika lawatan terakhirnya ke negara itu, Macron lantang menyokong ibu bapa warga Perancis yang terpisah dari anak-anak mereka di Jepun, sekali gus mengutuk “situasi menyedihkan itu sama sekali tidak dapat diterima”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.