China sekat impian Perancis, kekal juara Piala Thomas

China sekat impian Perancis, kekal juara Piala Thomas

China menumpaskan Perancis dalam aksi akhir 3-1.

Pasukan badminton China menjulang Piala Thomas buat kali ke-12 di Horsens, Denmark. (Gambar Bernama)
HORSENS:
China menamatkan impian Perancis untuk melakar sejarah menjulang trofi Piala Thomas apabila menewaskan pasukan Eropah itu 3-1 bagi mempertahankan gelaran juara pada perlawanan akhir edisi 2026 di Forum Horsens, hari ini.

China membuka tirai kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Shi Yu Qi yang mengharungi pertarungan selama 85 minit untuk menangkis tentangan sengit pemain nombor empat dunia Christo Popov, 21-16, 16-21, 21-17 dalam perlawanan pembukaan yang mendebarkan.

Perancis bangkit menyamakan kedudukan menerusi perseorangan kedua dan pemain nombor 10 dunia Alex Lanier, yang mempamerkan aksi tenang dan klinikal dengan menggabungkan permainan di jaring yang menarik untuk mengejutkan pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng, 21-13, 21-10 dalam tempoh 43 minit.

Pasukan Asia itu bagaimanapun kembali menguasai permainan pada perlawanan ketiga, dengan perseorangan ketiga dan pemain nombor 15 dunia Weng Hong Yang berhempas pulas menewaskan pemain nombor 17 dunia Toma Junior Popov, 22-20, 20-22, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 96 minit.

Ketika kejuaraan menjadi taruhan, beregu lelaki nombor 99 dunia He Ji Ting-Ren Xiang Yu tampil cemerlang memberikan pukulan penamat apabila mengatasi pasangan nombor 52 dunia Eloi Adam-Leo Rossi.

Selepas memenangi set pertama 21-13, pasangan China itu menamatkan perlawanan dengan 21-16 menerusi permainan di jaring Ji Ting yang menarik bagi memastikan kemenangan dan menghadiahkan gelaran ke-12 Piala Thomas buat China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.