Doktor sanggup redah majlis perkahwinan orang minta bunga

Doktor sanggup redah majlis perkahwinan orang minta bunga

Love dan pasukannya akan mengedarkan bunga kepada pesakit yang kesunyian dan tidak diziarahi keluarga.

Eleanor Love bersama lebihan bunga segar yang diambil dari majlis perkahwinan untuk diedarkan kepada pesakit di Pusat Perubatan Virginia Commonwealth University (VCU). ((Gambar Eleanor Love/The Simple Sunflower)

Banyak sebab kenapa orang suka menghadiri majlis perkahwinan. Namun bagi seorang doktor di Virginia, Amerika Syarikat penangan lebihan bunga segar membuatnya sanggup menghadiri sebarang majlis perkahwinan, walaupun tidak diundang.

Idea untuk mengumpulkan lebihan bunga segar dari majlis perkahwinan sudah dimulakan Eleanor Love sejak bergelar pelajar perubatan lagi.

“Ada ramai pesakit yang kesunyian dan tidak pernah diziarahi sesiapapun di hospital apatah lagi menerima jambangan bunga segar yang mahal,” kata Love yang akan menghubungi lebih awal penyelaras majlis perkahwinan sebelum mengambil lebihan bunga segar tersebut.

“Setakat ini permintaan saya tidak pernah ditolak,” kata Love, 27 yang kini berkhidmat sebagai doktor perubatan am di Riverside Regional Medical Center, Virginia.

Menurut Newport News, ketika bergelar pelajar perubatan, Love mencuba kaedah yang lebih praktikal untuk mengurangkan penderitaan pesakit selain merawat mereka menggunakan kaedah perubatan moden.

“Satu daripada cabaran utama menjadi pelajar perubatan adalah agak sukar untuk menyumbang dalam pasukan perubatan sedia ada,” kata Love yang berasal dari Arlington, Virginia.

“Anda di sana hanya sebagai pelajar, tapi dalam masa sama anda mahu menyumbang kepada pesakit sedangkan anda tidak memiliki ilmu yang sama seperti pengamal perubatan lain.

Jadi pada 2019, dia memulakan The Simple Sunflower di Richmond, dan setakat ini telah mengedarkan lebih 760 jambangan bunga di Pusat Perubatan Virginia Commonwealth University. Projek itu turut dibantu pelajar perubatan dan individu lain dan kini mempunyai lebih 200 sukarelawan.

Katanya walaupun ia bukan idea baru dan banyak bandar lain di seluruh negara turut melakukannya, melihat wajah sugul bertukar ceria adalah sesuatu yang amat membahagiakan.

Love, yang tinggal hanya setahun saja lagi sebelum menamatkan khidmat perubatan amnyaa akan berpindah ke Portland, Oregan untuk mengkhusus dalam bidang radiologi diagnostik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.