
Kecoh di media sosial apabila sepasang suami isteri di Filipina memilih nama paling pelik untuk bayi pertama mereka, Hypertext Markup Language (Bahasa Penanda Hiperteks), HTML iaitu kod untuk membina laman sesawang.
Bayi dengan nama penuh HTML R. Pascual itu menjadi tular di Facebook sejak ibu saudaranya, Sincerely Pascual berkongsikan sekeping gambar bayi berkenaan di akaunnya pada 10 Jun lalu.
Lebih membingungkan netizen apabila dia mendedahkan nama unik anak saudaranya itu sebelum ia menjadi perbincangan hangat di platform media sosial terbabit.
Dia berkata, abangnya mendapat inspirasi nama itu daripada pekerjaannya sebagai seorang pembangun laman sesawang.
Bayi seberat 2.25 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di sebuah hospital di Boacue.
Ketika ditemuramah Inquirer, Pascual berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kebanyakan ahli keluarganya mempunyai nama yang unik.
Nama sebenarnya abangnya ialah Macaroni 85 manakala kakak, Spaghetti 88 dan namanya pula, Sincerely Yours 98.
Selain itu, Pascual memberitahu, kakaknya, Spaghetti turut menamakan dua anak sebagai Cheese Pimiento dan Parmesan Cheese dan dipanggil dengan nama timangan, Chippy dan Peewee.
Pada masa sama, ada juga sepupu mereka yang bernama Design dan Research.
Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Salie Rayo Pascual berkata, beberapa saudaranya yang lain turut gembira dengan pemilihan nama itu.
Sejak dikongsi di Facebook, hantaran yang dibuat mengenai nama bayi itu sudah mendapat 7,700 perkongsian selain 1,600 komen ditinggalkan oleh netizen.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]