Tikus perwira pengesan periuk api, akhirnya ‘bersara’

Tikus perwira pengesan periuk api, akhirnya ‘bersara’

Magawa yang pernah diberi anugerah atas keberaniannya, ‘bersara’ daripada tugas mengesan periuk api di Kemboja.

Magawa memakai pingat keberanian yang diterimanya pada September tahun lalu. (Gambar Twitter)

Seekor tikus pengesan periuk api yang pernah diberi anugerah atas keberaniannya menyelamatkan nyawa, akhirnya ‘bersara’ daripada tugasnya selepas lima tahun berkhidmat di Kemboja.

Magawa yang berusia tujuh tahun itu adalah tikus Afrika berasal dari Tanzania dan ia dilatih oleh sebuah badan kebajikan, APOPO untuk mengesan periuk api.

Sepanjang ‘kerjayanya’ tikus terbabit sudah dihantar menghidu periuk api di kawasan seluas 225,000 meter persegi di negara itu.

Menurut Pengurus APOPO di Kemboja, Michael Heiman, tikus berkenaan kelihatan mula penat selepas ditugaskan menghidu 71 kawasan periuk api selain berjaya menemui 38 bahan letupan yang tidak diletupkan.

“Perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan menghentikan tugasnya. Selepas ini, setiap kali tibanya musim luruh, ia akan menghabiskan masa melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menikmati buah pisang dan mengunyah kacang.

“Magawa adalah seekor tikus luar biasa. Kami pasti merinduinya,” kata Heiman.

APOPO melatih Magawa di negara asalnya di Tanzania untuk mengesan bahan kimia dalam bahan letupan berkenaan, sambil diberi ganjaran snek enak.

Pada 2016, haiwan itu dibawa ke bandar Siem Reap untuk memulakan tugasnya sebagai penghidu periuk api.

September tahun lalu, dia diberi penghargaan menerusi satu anugerah atas keberanian serta kebolehan luar biasanya mengesan kawasan periuk api yang belum diletupkan.

Magawa mencipta sejarah sebagai tikus pertama yang menerima pingat PDSA itu sejak anugerah berkenaan diperkenalkan 77 tahun lalu bagi mengiktiraf keberanian pelbagai haiwan seperti anjing, kucing serta burung merpati.

“Walaupun tikus ini masih sihat, namun ia sudah mencapai usia persaraan dan keadaannya sudah tidak lagi seperti dulu,” kata badan kebajikan itu.

Bagaimanapun, APOPO berkata, mereka mempunyai 20 lagi tikus baru dilatih yang sudah dihantar ke Kemboja untuk ditugaskan di kawasan periuk api.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.