Mesyuarat khas menteri luar Asean ditangguh, kata Anwar

Mesyuarat khas menteri luar Asean ditangguh, kata Anwar

Perdana menteri berkata beliau sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja memandangkan ketegangan semakin memuncak.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedang menyelaras serta memantau perkembangan ketegangan di Thailand dan Kemboja.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas menteri-menteri luar Asean yang dijadualkan berlangsung esok, ditangguhkan kerana Malaysia sedang menyelaras serta memantau perkembangan ketegangan di Thailand dan Kemboja.

Perdana menteri berkata, sehingga kini, Malaysia masih merayu dua negara bertelagah menghentikan pertempuran supaya kestabilan serantau dapat dikembalikan.

“Jadi, kami menangguhkan sementara (mesyuarat khas menteri-menteri luar Asean) untuk memastikan semuanya teratur,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas melancarkan Buku “The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of SM Mohamed Idris di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, beliau sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja memandangkan ketegangan semakin memuncak.

“Saya berhubung dengan mereka secara maya hampir setiap hari.”

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia akan memanggil mesyuarat khas menteri-menteri luar Asean dalam masa terdekat untuk menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lalu, kembali tegang pada Julai dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudian bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai, sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt lalu, iaitu semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47, dengan disaksikan Anwar selaku pengerusi Asean dan Trump.

Tetapi, pertempuran kembali tercetus minggu lalu menyebabkan lebih 500,000 orang meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan di Thailand dan Kemboja, melepasi jumlah keseluruhan yang dipindahkan ketika pertempuran sama awal tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.