Thailand dan Kemboja setuju laksanakan gencatan senjata serta-merta

Thailand dan Kemboja setuju laksanakan gencatan senjata serta-merta

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara berjiran itu berikrar menamatkan pertempuran di sempadan yang berlarutan selama beberapa minggu.

Thailand Cambodia EPA 150625
Gencatan senjata berkuat kuasa berkuat kuasa hari ini sekali gus menghentikan semua penggunaan senjata dan serangan ke atas semua sasaran. (Gambar EPA Images)
PHNOM PENH:
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata ‘serta-merta’ hari ini.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, mereka berikrar menamatkan pertempuran berdarah di kawasan sempadan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

“Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas kenyataan bersama ini ditandatangani, berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari (waktu tempatan) pada 27 Dis.

“Ia melibatkan penghentian penggunaan semua jenis senjata, termasuk serangan terhadap orang awam, harta awam dan infrastruktur, serta sasaran ketenteraan di kedua-dua pihak, tanpa pengecualian di semua kawasan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Jawatankuasa Khas Sempadan Jeneral kedua-dua negara yang dikeluarkan Kemboja.

Kedua-dua pihak bersetuju menghentikan semua pergerakan tentera dan membenarkan penduduk awam di kawasan sempadan pulang ke rumah secepat mungkin, menurut kenyataan itu.

Mereka juga bersetuju bekerjasama dalam usaha membersihkan ranjau serta membanteras jenayah siber.

Keputusan itu dibuat selepas tiga hari rundingan sempadan yang diumumkan susulan mesyuarat krisis menteri luar negara-negara ASEAN, yang mana Kemboja dan Thailand adalah anggota.

Amerika Syarikat, China dan Malaysia turut mendesak kedua-dua jiran yang berkonflik itu untuk menyambung gencatan senjata.

Ketiga-tiga negara terbabit sebelum ini telah menjadi orang tengah bagi perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertembungan maut selama lima hari pada Julai lalu, tetapi gencatan senjata tersebut hanya bertahan seketika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.