
Beliau berkata, inisiatif diusahakan Malaysia dan Asean itu bertujuan mengendurkan ketegangan serta mengelakkan sebarang peningkatan konflik di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Menurut Anwar, mesyuarat itu akan membolehkan Asean berbincang secara kolektif, menentukan fakta sebenar di lapangan, serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata serta-merta.
“Kami merayu kepada mereka supaya menghentikan serangan di barisan hadapan ini dengan segera dan jika boleh, gencatan senjata serta-merta. Mereka kurang senang dengan istilah gencatan senjata kerana ia seolah-olah menunjukkan persetujuan mereka. Jadi, jika anda lihat kenyataan saya, saya menggesa semua pihak mematuhi gencatan senjata ini,” katanya menurut Bernama, di Putrajaya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi taklimat selama sejam bersama ketua editor media tempatan dan antarabangsa mengenai prestasi 2025 dan prospek tahun hadapan.
Anwar berkata, Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan ‘arahan’ kepada menteri-menteri luar, namun pemimpin dan menteri Asean sentiasa berhubung rapat melalui penglibatan di pelbagai peringkat.
“Saya tidak memberikan arahan kepada menteri-menteri luar, tetapi kami berkomunikasi hampir setiap hari,” tegas beliau.
Anwar berkata, keputusan mengadakan mesyuarat itu menyusul selepas rundingan berterusan dengan perdana menteri Thailand dan Kemboja. Beliau turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menghubunginya mengenai perkara itu.
“Presiden Trump menghubungi saya dan memberikan maklumat terkini. Saya memberitahu Presiden Trump bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tarikh itu dipersetujui lebih awal, kedua-dua perdana menteri pada mulanya berhati-hati untuk mengadakan rundingan terlalu awal jika ketegangan di lapangan belum reda, namun kini kedua-dua negara bersetuju hadir pada 22 Dis.
“Anda lihat dalam kalangan pihak yang sedang bertelagah, selalunya sukar untuk membawa mereka duduk berbincang. Namun di sini, atas inisiatif Malaysia dan Asean, mereka telah bersetuju hadir,” katanya.
Anwar berkata, pandangan kolektif menteri-menteri luar Asean adalah penting dalam memujuk kedua-dua pihak menghentikan permusuhan sebelum beralih kepada perbincangan mengenai parameter jangka sederhana dan panjang bagi penyelesaian secara aman.
Beliau menambah, Thailand dan Kemboja juga telah bersetuju dengan penempatan Pasukan Pemerhati Asean, selain memaklumkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia akan berlepas ke sempadan dalam masa beberapa hari lagi untuk meneruskan libat urus di peringkat ketenteraan.
Anwar berkata, penglibatan Malaysia akan diteruskan melalui pelbagai saluran, termasuk komunikasi antara pemimpin, menteri-menteri luar, dan panglima angkatan tentera masing-masing.