Patutlah sakit, ada pisau dalam dada rupanya

Patutlah sakit, ada pisau dalam dada rupanya

Kent Ryan Tomao menyedari kejadian tersebut selepas melakukan ujian imbasan sinar x sebagai syarat untuk membuat permohonan kerja perlombongan di Agusan del Sur.

Imbasan sinar x menunjukkan sebilah pisau dalam dada Kent. (Gambar odditycentral.com)

Seorang pemuda tidak menyangka kesakitan yang dialami pada bahagian dada ketika cuaca sejuk rupa-rupanya berpunca daripada sebilah pisau yang tertanam dalam dadanya, dalam kejadian di Filipina.

Kejadian aneh itu terbongkar ketika pemuda terbabit, Kent Ryan Tomao, 25, melakukan ujian imbasan sinar x sebagai syarat untuk membuat permohonan kerja perlombongan di Agusan del Sur.

Pada mulanya, dia hanya diberitahu doktor bahawa terdapat satu objek menyerupai pisau berada dalam dada dan kedudukannya hampir dengan paru-paru.

Bagaimana pun, dia sebelum itu tidak pernah terfikir atau mengalami sebarang masalah kesihatan dan memberitahu doktor di Bandar Kidapawan bahawa kesakitan hanya dirasai ketika cuaca sejuk.

“Saya sentiasa tertanya-tanya mengapa berasa sakit dada ketika cuaca sejuk. Saya tidak tahu sebenarnya terdapat pisau tertanam dalam dada,” katanya kepada sebuah stesen radio.

Menjelaskan perkara itu, Kent berkata, dia pernah menjadi mangsa serangan pisau lebih setahun lalu oleh sekumpulan remaja ketika menunggang motosikal.

Katanya, dia tidak mengingati dengan jelas kejadian itu selain hampir hilang nyawa ketika dibawa ke hospital dan berjaya diselamatkan doktor.

Dia juga menyangkakan doktor sudah melakukan pemeriksaan dengan teliti sebelum dibenarkan keluar hospital.

Biarpun mungkin dia adalah salah seorang mangsa kecuaian doktor namun pemuda terbabit memberitahu dia tidak merancang untuk menyaman doktor yang merawatnya.

Kent juga tidak mahu mendedahkan sebarang nama kerana tidak mahu berdepan dengan sebarang masalah.

Pemuda itu hanya mahu pisau terbabit dikeluarkan dari badannya supaya dia boleh membuat permohonan kerja selepas ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.