
Katanya, kekurangan liputan media berpunca daripada isu dibangkitkan tidak bersifat sensasi, berbeza dengan pendekatan ‘stunt politik’ yang sering menarik perhatian umum seperti dilakukan Pemuda Umno dan DAP.
“Dalam banyak keadaan Pemuda PKR memilih jalan tengah bagi meredakan perbalahan tanpa mengorbankan prinsip,” katanya dalam temu bual FMT.
Beliau berkata, pendirian itu termasuk dalam isu Jalur Gemilang, KK Mart dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), di mana Pemuda PKR berusaha mengimbangi perbezaan dalam masyarakat majmuk.
Hubungan dengan Pemuda parti lain
Mengulas dakwaan tiada kesepaduan antara Pemuda dalam kerajaan perpaduan, Kamil yang juga setiausaha politik menteri kewangan berkata persepsi kurang kerjasama itu berpunca daripada kenyataan berbeza.
Katanya, perbezaan kenyataan berlaku untuk menjaga segmen teras masing-masing, namun hubungan peribadinya dengan ketua Pemuda DAP, Amanah, dan Umno termasuk Dr Akmal Saleh tetap baik.
“Pemuda PKR lebih ambil jalan tengah, bukan kata kita tidak ada pendirian yang jelas,” katanya.
Kritikan Rafizi beri kesan
Kamil mengakui kritikan terbuka termasuk daripada bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi kesan kepada parti dan pentadbiran kerajaan.
Katanya, kritikan beremosi boleh mengelirukan akar umbi dan pengundi atas pagar justeru perbezaan pandangan dalam parti sepatutnya diurus dengan berlapang dada tanpa menjadikan rakan seperjuangan sebagai musuh.
Beliau turut menegaskan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Rafizi, sambil menekankan fokus Pemuda PKR memperkukuh parti dan membawa agenda perubahan.
“Dalam politik, musuh kita ialah lawan politik, bukan rakan seperjuangan. Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Rafizi,” katanya merujuk kritikan terbuka Rafizi selepas pemilihan parti April lalu.
Lantikan Taufiq
Sementara itu, Kamil menyifatkan pelantikan Dr Taufiq Johari sebagai menteri belia dan sukan dalam rombakan Kabinet 16 Dis lalu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan kesediaan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mengambil kira aspirasi golongan belia.
Katanya, langkah itu selari dengan penetapan had umur belia kepada 30 tahun yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Menurutnya, pelantikan Taufiq yang berusia 29 tahun membuktikan komitmen kerajaan menterjemahkan dasar kepada tindakan, selain memberi ruang kepada wakil generasi muda sendiri berada dalam Jemaah Menteri.