
Saya ulang tajuk artikel – ini pasal 2M. Bukan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam pada 1980-an bila mana mereka memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri ‘respectively’ (tapi ada juga orang kata 2M itu sebenarnya bermaksud Mahathir Mohamad dan beliau tidak gemar 2M dilihat sebagai Mahathir – Musa). Entah betul entah tidak taklah saya tahu. Tak apalah itu cerita lama.
2M yang saya maksudkan ialah Mahathir (tentulah siapa lagi) dengan Muhyiddin Yassin. Kedua-dua pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bersatu.
Mahathir sebagai pengerusi Muhyiddin presiden. Mahathir dipecat berikutan krisis politik awal 2020. Ini untuk konteks penulisan ini.
Ini cerita barunya. Tetapi terlebih dahulu imbau kembali apa yang berlaku tempoh hari. Mungkin anda sudah tahu tetapi saya huraikan juga. Tular satu klip video disertakan kapsyen mendakwa Mahathir berkata konon Muhyiddin mahu jadi perdana menteri ‘kerana takut dipenjara’.
Dalam rakaman itu lapor Malaysiakini, Mahathir didengari berkata seseorang itu ‘ada masalah’ dan ‘mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat ‘tetapi kerana bimbang masuk penjara’.
Kedengaran juga Mahathir berkata: “Pasai (pasal) kalau tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu. Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dan duit tu la dia belanja.” Mahathir bagaimanapun tidak sebut nama orang yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, Pemuda Bersatu (atau Armada) Johor mendakwa ‘pihak tertentu’ telah ‘memanipulasi’ rakaman video pertemuan Armada dengan Mahathir yang berlangsung awal minggu lalu di Putrajaya.
Alias Rasman, ketua Pemuda Bersatu Johor mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk individu lain bukan Muhyiddin. Dakwanya video berkenaan telah ‘disunting’ demi kepentingan politik pihak tertentu.
“Orang tu sunting-sunting, potong-potong jadi benda itu ‘misleading’. Saya kenal siapa yang buat itu dan saya akan ambil tindakan undang undang,” kata Alias seperti dilapor Malaysiakini.
Beliau mendakwa, individu yang ‘memanipulasi’ video berkenaan turut hadir dalam pertemuan dengan Mahathir. Siapa orang itu dan untuk siapa dia melakukan ‘manipulasi’ video tidak didedahkan.
Sehari kemudian yakni 13 Dis tampil Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mahathir yang dikata tadi. “Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.” Menurut Muhyiddin menerusi kenyataan disiarkan di media sosial.
Muhyiddin kata, Mahathir mungkin mendapat maklumat tidak benar daripada ‘pihak yang tidak bertanggungjawab’. Siapa pihak itu tidak dinyatakan.
Ada lagi kata Muhyiddin. “Sebagai seorang negarawan beliau (Mahathir) sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan terhadap saya.”
Dan menurut Muhyiddin , dalam banyak pertemuan beliau dengan Mahathir, bekas pengerusi Bersatu itu tidak pernah membangkitkan perkara berkenaan ‘di hadapan saya’.
‘This is where it gets interesting’. Pada hemat saya dalam membuat penafian, Muhyiddin, sama ada secara sedar atau tidak, seakan mengakui Mahathir memang ada melemparkan tuduhan terhadapnya. Bertentangan dengan dakwaan ketua Pemuda Bersatu Johor bahawa video telah ‘dimanipulasikan’. ‘Muhyiddin is not on the same with Alias on this’ nampaknya.
Persoalan seterusnya mengapa Pemuda Bersatu Johor bersusah-payah datang dari jauh ke Putrajaya untuk bertemu Mahathir? Menurut Alias pertemuan mereka adalah sebahagian kunjungan hormat Pemuda Bersatu Johor ke pejabat Mahathir.
Dan Muhyiddin serta Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham tahu akan pertemuan itu. Ertinya kedua-dua pemimpin sudah dimaklumkan. Tetapi, adakah mereka merestui? Atau adakah pihak tertentu dalam Bersatu yang mahu Pemuda Bersatu Johor bertemu Mahathir?
Pun begitu, memang berjumpa dengan Mahathir bukan perkara pelik. Kan Muhyididn sendiri sifatkan Mahathir seorang negarawan? Lantas Pemuda Bersatu Johor tunjuk hormat adalah wajar. Yang muda mesti datang hormat yang tua. Cuma kali ini orang yang dikunjung hormat pernah dipecat oleh Bersatu sendiri (baca Muhyiddin dan barisan kepimpinannya).
Persoalan besar ialah apa yang dibangkit serta dibincangkan? Alias kata Mahathir sebenarnya menyentuh ‘isu lebih penting’. Apa isu itu tidak dijelaskan. Lagi satu persoalan – bagaimana nama Muhyiddin timbul pada pertemuan itu?
Mungkinkah Pemuda Bersatu Johor sekadar mahu pendapat Mahathir tentang hasrat Muhyiddin mahu kekal presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional pada PRU mendatang? Atau mahu tahu apa pandangan Mahathir terhadap Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang mahu ambil alih daripada Muhyiddin?
Mungkin Pemuda Bersatu Johor mahu tahu siapa yang Mahathir ‘endorse’ meskipun beliau bukan lagi dalam Bersatu? Atau mahu petunjuk Mahathir? Wallahuaklam.
Saya tidak tahu sama ada nama Azmin Ali setiausaha agung Bersatu ada dibangkitkan. Dikatakan jika Muhyiddin undur beliau berminat mengganti. Maksudnya, Azmin tidak akan beri laluan percuma kepada Hamzah.
Azmin pernah amat akrab dengan Mahathir. Sejak beliau jadi ketua pelajar Malaysia di AS dulu beliau rapat dengan Mahathir yang waktu itu memegang jawatan perdana menteri keempat.
Dalam satu temu bual dengan portal berita The Malaysia Insider (sudah tidak wujud sekarang) pada Disember 2013 Azmin beritahu tarikh perkahwinannya pun yakni 7 Ogos 1988 dipilih oleh Mahathir. Punyalah rapat. Maka tidaklah mengejutkan pelbagai pihak melihat Azmin bagai anak angkat Mahathir dan Siti Hasmah Ali suatu masa dulu.
Azmin kerja dengan Anwar Ibrahim pun dicadang Mahathir. Tetapi semuanya berubah selepas kontroversi pemecatan Anwar oleh Mahathir pada 1998. Mungkinkah Mahathir masih sentimental dengan Azmin? Wallahuaklam.
Apa pun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi membangkitkan soalan mengenai pendirian Hamzah dan kumpulannya berhubung isu video dan tuduhan Mahathir kerana isu itu katanya ‘berpotensi menjadi senjata untuk menggulingkan kepimpinan Muhyiddin’.
Puad musuh Bersatu. Oleh itu, memang dijangkakan beliau kata yang beliau kata itu. Mungkin beliau menangguk di air keruh. Namun, mungkin ada juga benar apa yang beliau katakan itu. Setuju atau tidak terpulang.
Kesimpulannya Bersatu terus bergolak. Ini semua orang tahu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.