Rupa-rupanya mangkuk zaman Dinasti Ming

Rupa-rupanya mangkuk zaman Dinasti Ming

Peminat antik menemui mangkuk antik digunakan ketika zaman Dinasti Ming pada jualan garaj.

Mangkuk bernilai yang akan dilelong tidak lama lagi. (Gambar AP)

Bertuahnya badan.

Itu yang berlaku kepada seorang lelaki di Connecticut, Amerika Syarikat apabila sebiji mangkuk porselin yang dibeli daripada jualan garaj rupa-rupanya bukan sekadar barang buruk.

Mangkuk yang dibelinya pada harga USD 35 (RM141) itu sebenarnya dianggarkan bernilai antara USD300,000 (RM1.21 juta) hingga USD500,000 (RM2.02 juta) kerana digunakan pada awal zaman Dinasti Ming.

New York Daily News melaporkan, ia akan dilelong di syarikat lelongan Sotheby, tidak lama lagi.

Mangkuk kecil berwarna putih yang mempunyai beberapa corak bunga itu ditemui oleh seorang peminat barang antik.

Menurut Sotheby, lelaki terbabit hanya mengikut gerak hati untuk membelinya pada jualan itu yang sebenarnya adalah barang berharga.

Ia adalah salah satu daripada tujuh mangkuk bernilai yang masih wujud sehingga kini dan akan dilelong di New York akhir bulan ini sebagai sebahagian lelongan hasil seni dari Cina.

Pakar seramik dan seni China Sotheby, Angela McAteer dan Hang Yin berkata, mereka menerima banyak permintaan luar yang ingin menilai barangan berharga mereka namun mangkuk itu adalah barang antik yang jarang ditemui.

“Ternyata kami melihat barang antik yang sangat istimewa. Cara lukisan, bentuk mangkuk malah warna biru itu sudah cukup menggambarkan pada zaman awal abad ke-15 itu. Jika tiruan, ia langsung tiada cacat cela.

“Semua ciri-ciri yang ada menunjukkan mangkuk ini adalah dari awal zaman Dinasti Ming,” kata McAteer.

Menurut Sotheby, McAteer dan Yin mendapati mangkuk itu dihasilkan pada awal 1400 ketika pemerintahan maharaja Yongle, iaitu pemerintah ketiga Dinasti Ming dan ia digunakan di istananya.

Istana maharaja itu sebenarnya terkenal kerana mempopularkan rekaan baru porselin di bandar Jingdezhen.

Syarikat lelongan itu menjelaskan, mangkuk lain pada zaman Yongle kini berada di muzium di London, Taipei dan Tehran.

Sehingga kini, tiada siapa yang tahu bagaimana barang antik bernilai itu boleh ditemui di jualan garaj.

“Saya sentiasa kagum memikirkan bagaimana ia berlaku dan barang antik boleh ditemui. Sebagai pakar, kami teruja melihat sesuatu yang kita tidak tahu masih wujud dan tiba-tiba saja ditemui,” kata McAteer.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.