Sultan Johor pamer kereta bomba antik milik peribadi

Sultan Johor pamer kereta bomba antik milik peribadi

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah Johor ialah negeri pertama yang memiliki pasukan bomba secara tersusun pada zaman dulu.

sultan-johor-bomba

JOHOR BAHRU:
Lapan jentera bomba antik milik Sultan Johor akan dipamerkan sempena sambutan Hari Bomba peringkat negeri bermula esok.

Jentera bomba yang akan dipamerkan di Persada itu ialah dua model Dennis RR-B80, dua Ford Thames tender air, dan masing-masing sebuah Mercedes Turntable Ladder, Dennis F108, Dennis F31 dan Dennis Camiva F127 Turntable Ladder.

Pameran itu akan menjadi pameran jentera bomba milik peribadi yang terbesar di Malaysia dan menjadi lebih menarik kerana semua kenderaan itu masih berfungsi dengan baik selepas menjalani kerja pembaikan dan pemuliharaan di Britain.

Beberapa jentera itu pernah digunakan Jabatan Bomba Johor, yang sebelum ini berpangkalan di Balai Bomba Jalan Segget, lapor Star Online.

Semua jentera itu masih berfungsi dengan baik termasuk pam, paip, tayar dan tangga yang digunakan untuk kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah Johor ialah negeri pertama yang memiliki pasukan bomba secara tersusun pada zaman dulu.

“Jentera bomba ini sebahagian daripada sejarah negeri yang ingin saya pelihara,” titahnya dalam satu temu bual.

Baginda mempunyai koleksi 10 jentera bomba dengan dua daripadanya masih berada di London kerana sedang dibaik pulih.

Titahnya, sebahagian daripadanya diwarisi daripada allahyarham nendanya dan kemudian dihantar untuk dibaik pulih kepada keadaan asalnya.

“Bila ia siap, saya sangat suka dan kemudian membeli beberapa lagi jentera bomba dari London yang pernah digunakan untuk usaha menyelamat dan memadamkan kebakaran di sana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.