Heddy, jutawan barang antik

Heddy, jutawan barang antik

Minat mendalam terhadap nilai sejarah mendorong Heddy MN mengumpul barangan antik.

Heddy, bersama koleksi barangan antik miliknya. (Gambar Bernama)

Pada mulanya, dia hanya mengumpul poster dan majalah lama dari Jepun namun kini Heddy MN, 45, mempunyai lebih 30,000 koleksi barangan antik yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Minat terhadap nilai estetika dan sejarah terhadap barangan lama mendorongnya, untuk terus menambah koleksi yang diperolehi dari dalam negara mahu pun luar negara seperti United Kingdom, Jerman, Itali, Portugal dan Jepun.

Menurut Heddy, keghairahan terhadap hobi itu sebenarnya bermula daripada ayah, bapa saudara dan datuknya yang menyimpan beberapa barangan mempunyai nilai sejarah dan kisahnya tersendiri.

Katanya, dia yang juga meminati subjek Sejarah menjadikan ahli keluarganya itu sebagai sumber inspirasi untuk memiliki koleksi barangan antik sendiri.

Sejak menjadikan majalah lama dan poster yang dibeli menggunakan wang poket ketika menuntut di universiti sebagai koleksi pertamanya, dia terus mengumpul barangan satu persatu sehingga kini.

Semua koleksi tersebut tersimpan rapi di kedainya, rumah serta ruang penyimpanan khas.

Antara koleksi paling berharga iaitu sebiji balang tertutup nyonya peranakan dipercayai milik seorang kapitan China dari tahun 1860-an. (Gambar Bernama)

“Buat masa ini, antara koleksi barangan antik yang paling berharga ialah sebiji balang tertutup Nyonya Peranakan kerana ia dipercayai dimiliki oleh seorang kapitan China dari tahun 1860-an.

“Saya juga mempunyai koleksi barangan tembaga dan gangsa dari Dinasti Han dipercayai dari tahun 206 SM (Sebelum Masihi) hingga 220 SM,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di galerinya di Pasar Seni, baru-baru ini.

Anak kelahiran Melaka ini juga memiliki kira-kira 250 tabung lama dari sekitar tahun 1950-an hingga lewat 70-an membabitkan pelbagai institusi seperti Chung Khiaw Bank OCBC, Malayan Banking dan United Malayan Banking Corporation yang menjadi buruan pengumpul barangan antik.

“Tabung lama ini adalah edisi terhad dalam bentuk haiwan seperti ayam, badak sumbu, gajah dan beruang bagi menarik minat kanak-kanak untuk menabung,” katanya yang pernah berkecimpung dalam bidang kewangan selama dua dekad.

Pada masa sama, dia turut menunjukkan enam set cawan dan piring dengan logo lama Malaysia Airlines (MAS) keluaran tahun 1972 serta set edisi terhad Looney Tunes Warner Bros keluaran lewat 1980-an.

Ia dibuat dengan piuter dan diwarnakan satu persatu dengan tangan selain mahkota bagi buah ‘Raja’ dan ‘Permaisuri’ disadur dengan emas 18 karat.

Menurut Heddy, hobi mengumpul barangan antik bukan hanya membantu dia memelihara keunikan barang lama tetapi menjaga khazanah negara.

Heddy mengakui, ada negara yang ingin mendapatkan koleksi barangan Nyonya Peranakan miliknya dengan harga cukup lumayan namun dia tidak tergerak hati untuk menjualnya.

“Saya ingin menjual semua koleksi yang ada kepada mereka yang meminatinya, tetapi bukan kepada orang luar.

“Saya harap, pada pihak yang dapat menjaga khazanah ini supaya tidak mengulangi kesilapan lalu kerana banyak dokumen dan barangan sejarah kita pernah miliki dulu kini berada di muzium luar negara,” kata pemilik galeri Kota Pinang Enterprise itu.

Selain itu, Heddy berkata, dia kini bercadang untuk mengeluarkan buku mewah atau ‘coffee table book’ mengenai tabung lama yang dimiliknya dan ia dijangka siap awal tahun depan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.