
Kecantikan dan penampilan menarik memang tidak dapat dipisahkan dengan wanita malah, memiliki kulit halus menawan menjadi impian semua.
Namun, memiliki bulu roma yang lebat turut mengganggu penampilan begitu juga dengan Esther Calixte-Bea.
Di awalnya, Esther, 24 yang berasal dari Montreal, Kanada begitu tertekan dengan keadaan tubuhnya yang dipenuhi dengan bulu lebat seperti lelaki. Bukan hanya di bawah lengan dan kaki malah juga di dada.
Kerana terlalu tertekan, dia pernah terfikir untuk membunuh diri.
Keadaan dipenuhi bulu pada Esther ini adalah kerana faktor genetik yang disebabkan hormon androgen dikenal sebagai hormon laki-laki yang tinggi.
“Saya mengetahui bahawa wanita dari keluarga ayah mempunyai bulu roma yang lebat dan itu normal,” ujar Esther.
Keluarga Esther berasal dari suku W di Pantai Gading, Afrika. Pada masa dahulu, wanita dengan bulu lebat dianggap lebih cantik.
Pada waktu remaja, Esther amat sukar menerima keadaan itu sehingga sering mencukur bulu romanya.
“Saya akan panik setiap kali tumbuh bulu walau hanya dua helai,” jelas Esther mengenai bulu yang tumbuh di dadanya.
Namun, apabila mencukur dan “waxing” menjadikan dia selalu berasa sakit dan pada 2019, Esther memutuskan untuk berhenti mencukur dan menerima keadaan tubuhnya.
“Itu adalah perkara terbaik yang pernah saya lakukan dan saya merasa lebih seksi dengan penampilan sekarang,” ujar Esther yang dilapor Daily Mail.
Dia juga mulai belajar untuk mencintai penampilan dan meningkatkan rasa yakin terhadap kecantikan tubuhnya.
Malah, Esther kini sudah mulai keluar rumah dengan berseluar pendek dan berani memakai pakaian yang menampilkan bulu dadanya.
“Dulu saya sangat malu dengan diri sendiri dan ia seperti membawa satu beban berat untuk menyembunyikan bulu-bulu di tubuh sehingga pernah merasa ingin membunuh diri.
“Kini, saya membiarkan bulu tumbuh di kaki dan tidak malu untuk berseluar pendek bila keluar dari rumah,” katanya.
Walau merasakan dirinya tidak sama seperti orang lain, namun dia bertekad untuk menyayangi dirinya sendiri.
“Apabila saya keluar, ramai yang memerhatikan saya. Ada yang mengambil video dan saya menerima ratusan pesanan dari wanita seluruh dunia mengatakan mereka tidak bersendirian.
“Saya sudah menunjukkan bahawa bulu di tubuh dan wajah tidak lagi membuatkan saya malu,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]