Petronas, syarikat Kanada meterai perjanjian 20 tahun penggunaan kapasiti Cedar LNG

Petronas, syarikat Kanada meterai perjanjian 20 tahun penggunaan kapasiti Cedar LNG

Perjanjian turut membuka akses kepada Petronas mendapatkan saluran eksport gas asli tambahan bagi pelaburan huluannya yang besar di Kanada.

petronas-HQ
Perjanjian mencerminkan komitmen berterusan Petronas terhadap pelaburan di Kanada serta usaha berterusan memperkukuh portfolio bekalan LNG globalnya. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Pembina Pipeline Corporation dari Kanada memeterai perjanjian 20 tahun bagi menggunakan kapasiti pencairan gas asli cecair (LNG) sebanyak 1.0 juta tan setahun (mtpa) di kemudahan Cedar LNG, menerusi anak syarikat masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata perjanjian itu melibatkan struktur perkhidmatan pencairan sintetik bagi kapasiti 1.0 mtpa, yang membolehkan Pembina menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan kapasiti pencairan kepada Petronas LNG Ltd untuk tempoh 20 tahun.

Perjanjian ini turut membuka akses kepada Petronas mendapatkan saluran eksport gas asli tambahan bagi pelaburan huluannya yang besar di Kanada, sementara Pembina memperoleh aliran pendapatan jangka panjang yang stabil menerusi struktur ‘ambil atau bayar’ (take-or-pay) serta potensi peningkatan nilai.

“Ia juga menunjukkan komitmen bersama antara Pembina dan Petronas untuk merealisasikan potensi jangka panjang LNG Kanada, menyokong keterjaminan tenaga dan mempercepatkan peralihan kepada bahan api lebih bersih di Asia,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas Gas dan Perniagaan Maritim, Shamsairi M Ibrahim, berkata perjanjian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Petronas terhadap pelaburan di Kanada serta usaha berterusan memperkukuh portfolio bekalan LNG globalnya.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan Pembina dan projek Cedar LNG ini kerana ia meneguhkan peranan Petronas sebagai pemain tenaga bersepadu serta menunjukkan dedikasi kami untuk memonetisasi sumber gas secara bertanggungjawab.

“Kerjasama ini memperkukuh kepelbagaian dan kebolehpercayaan rantaian bekalan kami kepada pelanggan, selain menegaskan komitmen Petronas dalam menyediakan tenaga rendah karbon yang mampan bagi menyokong pertumbuhan tenaga di rantau Asia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pegawai Pembangunan Korporat Pembina, Stu Taylor, berkata perkongsian itu mengesahkan lagi potensi projek Cedar LNG dan menunjukkan permintaan kukuh terhadap kapasiti eksport global memandangkan kelebihan LNG Pantai Barat Kanada, termasuk kos bahan mentah yang kompetitif serta jarak penghantaran lebih singkat ke pasaran Asia.

“Perjanjian ini merupakan lanjutan daripada hubungan sedia ada kami dengan Petronas dan satu perkembangan penting dalam peluasan berterusan perniagaan eksport Pembina,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perjanjian ini menandakan langkah pertama penting dalam usaha pemasaran semula Pembina, yang menjangkakan akan memuktamadkan perjanjian bagi baki 0.5 mtpa kapasiti menjelang akhir tahun ini.

Projek Cedar LNG bernilai USD4 bilion (anggaran kasar) berjalan mengikut jadual dan peruntukan kos serta dijangka beroperasi pada akhir 2028, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.