
Kerajaan Manitoba dalam kenyataan memaklumkan pengisytiharan itu berdasarkan syor pegawai pengurusan kebakaran hutan dan kecemasan wilayah berkenaan.
Manitoba mengisytiharkan darurat pada 28 Mei lalu yang ditamatkan 23 Jun lalu.
“Musim kebakaran kali ini menyaksikan Manitoba mencatatkan keluasan kawasan terbakar lebih 10 kali ganda berbanding purata musim kebakaran,” kata Ketua Menteri Manitoba, Wab Kinew dalam kenyataan itu.
“Apabila jumlah kebakaran aktif meningkat, kerajaan sekali lagi mengaktifkan pengisytiharan darurat di seluruh wilayah bagi menyediakan ruang untuk menempatkan penduduk terjejas.”
Selain pengisytiharan darurat di seluruh wilayah, beberapa pengisytiharan darurat tempatan sudah berkuat kuasa, termasuk di Snow Lake, di mana pemindahan wajib bermula.
Semua penduduk dan pelawat dikehendaki meninggalkan komuniti itu secepat mungkin sebelum tengah malam.
Menurut laporan media tempatan, lebih sejuta hektar hutan terbakar di Manitoba setakat Selasa lalu, hampir 11 kali ganda purata 20 tahun sebanyak 94,000 hektar bagi tempoh sama setiap tahun.