Fared kaki buli

Fared kaki buli

Tingkah laku atau bahasa Fared selalu menakutkan, mengancam, mengaib, merendahkan dan kalau mengkritik selalunya dilakukan dengan jerit-jerit.

faisal tehrani

Tak tahu bagaimana nak cakap, Fared itu ustaz. Tapi ustaz yang suka membuli. Di pejabat, Fared memang kaki buli. Tak tahu bagaimana nak cakap, sebab Fared memang ustaz. Meskipun ustaz, tapi dia kaki buli.

Memang di pejabat, Fared ada gred. Tapi bukan dia seorang gred besar. Ada pegawai lain pun gred sama. Tapi Fared dilantik sebagai ketua pentadbiran. Kalau dilantik menjadi ketua pentadbiran, Fared memang ada sebab untuk menyuruh-nyuruh. Dia tidak fikir itu satu kesalahan.

Cara Fared dengan staf itu memang kasar, dan bahasanya kesat. Fared tahu dia tidak boleh meninggalkan apa-apa jejak di emel, atau aplikasi WhatsApp. Dia tahu nanti ada integriti atau ombudsman mencari. Jadi kalau ada apa-apa arahan kerja yang melampau-lampau itu, Fared akan pastikan ia dilakukan lisan. Kau buat itu, kau buat ini. Ini itu. Itu ini.

Biasa mangsa Fared ialah pegawai atau staf wanita. Tingkah laku atau bahasa Fared selalu menakutkan, mengancam, mengaib, merendahkan dan kalau mengkritik selalunya dilakukan dengan jerit-jerit.

Ada seorang pegawai wanita itu namanya Nik Norreen. Fared tidak peduli kalaupun Nik Norreen itu biras dengan putera raja mana, dia selalu mengancam untuk menyebarkan ‘info yang awak sebenarnya pengikut New Age’.

Bila Nik Norreen berkerut tidak faham, Fared akan lebih mengugut: “Saya ada nampak foto Emanuel Swendenborg dalam buku nota awak sewaktu mesyuarat. Dan saya tahu awak mengamalkan bibliomancy. Awak tahu kan ia adalah amalan yang bukan dari ajaran Rasulullah dan berasal dari paganisme Eropah?”

Bila Nik Norreen menafikan, dan membalas dia hanya mengenal Emanuel Macron, Fared spontan mengancam: “Saya ada nampak foto awak di IG, awak melintas jalan dengan kawan jelita berpegangan tangan. Mungkinkah awak lesbian?”

Gosip dan khabar angin jahat begitu menjadikan Fared besar. Dan Nik Norreen memang susah hati, walaupun dia tidak kenal siapakah Emanuel Swendenborg. Dan tidak tahu apakah bendanya bibliomancy.

Fared hanya tersengih jahat sambil bersuara perlahan: “New Age telah diwartakan haram oleh semua mufti di Malaysia. Saya boleh adukan awak.” Pagi Fared tidak akan lengkap kalau tidak membulikan perasaan Nik Norreen. Yang Nik Norreen pun satu, dek takut tidak bersebab; apa sahaja kerja menimbun yang diberi oleh Fared, dia akan siapkan.

Fared keluar tengah hari itu menuju ke sekolah anaknya. Isterinya memberitahu, guru kelas mahu bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Kebetulan sangat isteri Fared terpaksa berkejar ke sebuah jualan gudang, maka Fared terpaksa mengalah menggantikan. Lagi pun Fared tak kisah, kerja dia semua sudah ditanggung Nik Norreen.

Dalam perjalanan ke sekolah ada sebuah kereta yang bergerak terhegeh-hegeh dan sangat menjengkelkan. Dek geram, Fared sengaja memandu kereta BYDnya dengan terlalu rapat secara agresif. Dia dendamkan mak cik tua yang sedang memandu Axia kenit di depan.

Bila tiba di lampu isyarat, sengaja Fared memintas dan kereta mereka bersebelahan. Fared turunkan jendela tingkap, dan membuat isyarat agar mak cik juga menurunkan tingkap. Mak cik itu menjeling sekilas. Tapi anak menantu mak cik selalu memesan agar jangan membiar diri menjadi mangsa penderaan lisan, maka Fared mendapati mak cik itu berlagak timun.

Dia macam bodoh dan tenang kekal tidak terganggu. Seorang diri Fared memekik-mekik di sebelah: “Oii. Kak Milah Kerajaan Langit, aku tahu kau siapa…turunkan tingkap kereta. Turunkan tingkap kereta, ana sedang bercakap dengan enti ni.”

Mak cik kereta Axia kekal tenang, memang betul macam timun. Bila lampu isyarat menghijau, mak cik meluru laju, Fared cuba mengejar seraya dihon-honnya kereta mak cik itu. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah, ‘dasar perempuan si Hulk.’

Fared tidak tahu, mak cik bukan sebarang mak cik. Dia sedang merakam dengan dashcam dan telefon genggamnya. Mak cik mencatat nombor pendaftaran kenderaan, lokasi, dan masa kejadian. Nanti mak cik akan adukan kepada duda sebelah rumah yang minatkan dia. Mak cik akan ajak duda itu untuk melaporkan perihal Fared kepada pihak berkuasa.

Setibanya Fared di pekarangan, dia masuk mencari-cari kamar guru besar. Di bilik guru besar yang muka dia iras Fadlina Sidek itu Fared menghadap seorang perempuan lawa bergetah. Fared naik menyampah, sebab dia lihat perempuan itu tidak bertudung. Dalam hatinya terlintas, ‘tentu jenis sisters in forum.’ Dia melihat di sisi perempuan rambut karat itu ada seorang budak lelaki agak debab, berisi. Dan guru besar iras wajah Fadlina pun memanggil anaknya masuk sambil diiring guru kanan, yang Fared lihat mukanya seiras El Risitas.

Guru besar mulai bersuara. Fared rasa terapung. Guru besar muka macam Fadlina Sidek itu didengarnya mengomel tentang murid yang takut untuk pergi ke sekolah atau menyertai acara sekolah. Tentang murid yang terlalu berwaspada. Tentang murid yang kawannya tidak ramai di sekolah mahupun di luar sekolah. Tentang murid yang pengorek pensilnya selalu hilang. Tentang duitnya RM5 selalu habis. Tentang prestasi akademik makin menurun. Tentang murid yang selalu tidur dalam kelas. Tentang murid yang
selalu berahsia.

Guru besar yang gaya bercakap macam Fadlina Sidek itu pun menutup leteran panjang: “Ustaz Fared bercakaplah dengan anak. Penting untuk mewujudkan komunikasi terbuka supaya anak-anak berasa selesa untuk memberitahu ustaz tentang apa yang berlaku dalam kehidupan hariannya.”

Fared terkebil-kebil, dia menyeluruhi muka anaknya yang tunduk. Fared menoleh ke arah guru besar dan guru kanan, kemudian jatuh pandangannya kepada muka perempuan lawa yang kini bila ditatap-tatap sudah serupa Sophia alBarakbah: “Anak saya buli anak puan, atau anak puan yang buli anak saya?”

Sister yang bergetah itu menyahut: “Bukan begitu bang, anak kita sama-sama pembuli. Mereka ini kaki buli di sekolah.”

Fared tersenyum sedikit, lega. Kemudian dia pandang muka guru besar semula: “Cikgu nak suruh saya buat apa?”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.