
Dianggarkan pada 2050, jumlah sampah plastik yang terdapat di lautan akan melebihi jumlah ikan yang ada di dalamnya. Untuk itu, penggunaan plastik dalam kehidupan harus dikurangkan.
Tahukah anda, plastik pakai buang mengambil masa 400 hingga 1,000 tahun untuk terurai? Ini termasuklah plastik sampah yang mengambil masa 1000 tahun untuk terurai, manakala beg plastik 10 hingga 1000 tahun.
Botol plastik pula mengambil masa 450 tahun dan lampin pakai buang mengambil masa antara 250 sehingga 500 tahun untuk lupus.
Bahan-bahan dari plastik ini merupakan salah satu bahan penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar. Justeru itu orang ramai dinasihatkan agar menghindarkan penggunaan plastik yang membawa kesan buruk kepada persekitaran.
Berikut beberapa tips yang dapat dilakukan untuk mengurangi penggunaan plastik, di antaranya:
1. Elak guna plastik pakai buang

Dengan menjauhi dari menggunakan plastik pakai buang seperti pinggan, cawan dan sudu plastik akan membantu mengurangkan jumlah sampah plastik. Ini termasuk penyedut minuman plastik atau “straw”.
2. Bawa beg sandang bila membeli-belah

Kita sudah maklum, pasaraya sudah tidak lagi menyediakan beg plastik untuk membawa barang yang dibeli. Malah, ada yang berkira-kira untuk mengeluarkan syiling bagi membayar sehelai beg plastik. Oleh itu, jadikan amalan dengan membawa satu beg sandang dari kain setiap kali ingin membeli-belah.
3. Gunakan bekas air keluli tahan karat

Biasanya, kita selalu akan membeli air mineral atau membawa botol air plastik. Apa kata tukar penggunaannya dengan bekas air keluli tahan karat yang ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.
4. Buang sampah plastik dalam tempat berasingan

Kumpulkan semua sampah plastik dan buang ke dalam tempat berasingan seperti tong kitar semula. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu menjaga alam sekitar.
5. Ingatkan keluarga kefahaman mengenai plastik dan alam sekitar
Anda boleh mulakan dengan mengajar anak-anak mengenai penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Bukan setakat memberi ilmu kepada mereka tetapi terapkan amalan tidak menggunakan plastik dari kecil agar ianya menjadi biasa apabila mereka meningkat dewasa.
Penggunaan plastik dalam kehidupan sehari-hari mungkin sukar dielakkan, namun jika dilakukan perlahan-lahan tentunya akan menjadi rutin seharian.
Sayangi alam sekitar dan anda mungkin salah seorang wira yang menyelamatkan bumi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]