
Memegang portfolio itu dari 2020 hingga 2022, Tuan Ibrahim (PN-Kubang Kerian) berkata langkah itu wajar memandangkan banyak punca pencemaran berulang akibat kekangan tenaga manusia dan sistem pemantauan yang belum automatik sepenuhnya.
“Perkara ini sudah lama sewaktu saya menteri pun kita mohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk luluskan dan sampai sekarang ia masih tidak mendapat pertimbangan.
“Maka, saya memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan perkara ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Beliau mengulas pendedahan JAS baru-baru ini, jabatan tersebut berdepan kekurangan lebih 3,000 pegawai teknikal dan penguat kuasa, sekali gus menjejaskan keberkesanan pemantauan terhadap premis industri serta menangani aduan pencemaran di seluruh negara.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dilaporkan berkata buat masa ini pihaknya hanya memiliki 1,111 pegawai dan kekangan itu menyebabkan hanya 20,000 daripada 64,000 premis perindustrian dapat diperiksa setiap tahun.
Katanya, lebih 11,000 aduan orang ramai setiap tahun dan ini tidak termasuk pemantauan kenderaan bermotor yang melebihi 33 juta unit di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata keadaan ini bermakna satu pasukan pengawasan hanya mampu menjalankan pemeriksaan terhadap 16 premis dalam tempoh sebulan.
“Jadi, anggota penguat kuasa kita memang tidak mampu. Sudahlah mereka juga yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 3,000 stesen minyak untuk menganalisis sampel bahan api bagi pematuhan terhadap piawaian.
“Aduan rakyat melebihi 11,000 kes setahun tetapi tindakan hanya dapat diambil terhadap sebahagian kecil,” katanya.