Redakan rasa pedas cili

Redakan rasa pedas cili

Capsaicin adalah bahan kimia yang ditemui dalam cili yang membuatkan anda terasa pedas dan mengalami sensasi panas.

Selain mengandung capsaicin, cili juga kaya dengan vitamin C, vitamin A, mineral, antioksidan dan serat. (Gambar Rawpixel)

Makanan pedas adalah sinonim dengan masyarakat Malaysia. Makanan yang tidak pedas sememangnya tidak lengkap dalam hidangan. Namun, rasa pedas yang berlebihan juga boleh menyebabkan rasa sensasi seperti terbakar pada lidah.

Rasa pedas ini sebenarnya disebabkan oleh bahan yang ada di dalam kandungan cili iaitu capsaicin. Capsaicin adalah bahan kimia yang yang membuatkan anda terasa pedas dan mengalami sensasi panas.

Selain mengandung capsaicin, cili juga kaya dengan vitamin C, vitamin A, mineral, antioksidan dan serat.

Makan cili dalam jumlah yang banyak akan membuat anda kepedasan. Bagaimana cara mengatasinya?

1. Minum susu

Satu kajian yang dijalankan di New Mexico State University Chile Pepper Institute telah menemui cara cepat yang boleh dilakukan bagi menghilangkan rasa pedas iaitu dengan minum susu.

Protin dalam susu dikatakan boleh menggantikan bahan kimia yang membuat cili terasa pedas dan menimbulkan sensasi panas serta terbakar pada lidah.

Oleh itu, minum susu adalah cara terpantas untuk meringankan kepedasan tersebut.

2. Nasi atau roti

Nasi atau roti mampu menyerap rasa pedas yang diakibatkan oleh capsaicin. Ini akan meredakan kepedasan di mulut. Selain itu, pisang juga boleh membantu untuk meredakan rasa pedas yang anda rasakan.

3. Gula

Semasa kepedasan, jangan minum air. Capsaicin berbahan dasar minyak dan tidak boleh dihilangkan dengan air. Namun, anda boleh cuba mengambil satu sudu teh gula atau madu untuk menghilangkan rasa pedas.

4. Minuman jus

Minuman jus seperti lemon dan tomato juga baik untuk mengatasi kepedasan. Asid yang terkandung dalam minuman tersebut boleh menghilangkan rasa pedas yang disebabkan capsaicin. Memakan asam atau hirisan lemon juga boleh membantu.

5. Minyak sayur

Capsaicin boleh dihilangkan dengan minyak sayur atau minyak zaitun. Anda boleh menggunakannya untuk ‘mencuci’ mulut serta menghilangkan rasa pedas. Adalah lebih baik jika minyak tersebut dimasukkan ke dalam peti sejuk terlebih dahulu agar lebih dingin.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.