
“Itu adalah pertempuran antara hidup dan mati dan ia adalah saat paling getir dalam hidup saya.”
Sesiapa yang mengenali Darshini Siangalimuthu tahu bahawa wanita muda itu adalah seorang insan bersemangat yang baik hati, lantang bersuara serta mempertahankan pendiriannya.
Pada usia 18 tahun, dia menjadi guru pembimbing (tutor) kepada murid sekolah dan mula menjana wang secara sampingan setelah selesai SPM.
Ketika berada di tahun akhir dalam jurusan undang-undang, dia nekad untuk berhenti belajar dan mengejar impiannya sebagai guru pembimbing sepenuh masa.

Dalam pada sibuk memperkayakan minda si kecil melalui pendidikan, Siangalimuthu turut menyibukkan diri dengan kursus pembuatan perhiasan dalam talian di Institut Seni dan Reka Bentuk New York sebagai usaha mencapai impiannya untuk menghasilkan seni.
Kini, dia menjalankan kelas bimbingan dan perniagaan perhiasan kecil dikenali sebagai DashBeads yang turut membantu keluarga miskin, pusat perlindungan haiwan dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
Bagaimanapun pada 2019, membantu insan yang kurang bernasib baik masih jauh dari kamus hidup Siangalimuthu.
Ketika itu dunianya hancur serta diselimuti kemurungan setelah insan yang dicintai meninggalkannya.
“Apa yang saya rasa hanyalah ketakutan dan saya perlu bersembunyi dari semua ini,” cerita Siangalimuthu sambil menangis mengenangkan tempoh tiga bulan yang bagaikan neraka itu.
“Saya takut melihat cahaya dan saya langsung tidak keluar dari rumah,” katanya, yang sukar untuk keluar dari bilik.
Ketika dia bersembunyi di sebalik selimut dan berbaring di katil sambil dihantui persoalan “mengapa saya di sini, apa tujuan hidup saya” – Siangalimuthu pernah terfikir untuk mengakhiri semuanya.
“Ada satu bulan, saya sampai di peringkat tidak boleh bersendirian dan perlu memegang baju abang saya atau ditemani seseorang ketika saya tidur,” katanya.

“Saya mengalami rasa gelisah dan cemas yang sangat teruk sehingga saya muntah kerana tidak makan,” kenangnya, yang hilang selera untuk menjamah makanan.
Pernah, ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara, baru saja 10 minit berada di majlis itu Siangalimuthu diserang panik dan terus berada di dalam kereta sehingga majlis berakhir.
Masalah kemurungan Siangalimuthu makin parah sehingga dia tergamak mengambil ubat secara berlebihan sebelum mengelar pergelangan tangannya.
Pada zahirnya, kelihatan seperti ia berpunca dari satu perpisahan, tetapi hakikatnya ia adalah kesan akibat trauma yang dialami sejak sekian lama.

“Pada 2011 – 2012, saya terperangkap dalam hubungan cinta yang penuh derita dan penderaan yang berlangsung selama dua tahun,” kata Siangalimuthu, mengenang hubungan lalu yang merenggut harga dirinya.
“Ia sangat toksik dan saya mula merasa bimbang kerana dia mengancam keselamatan keluarga dan mengikut saya ke mana saja,” katanya, sambil menambah lelaki itu juga pernah mengancam untuk mencederakan bapanya.
Dalam pada berdepan dengan pasangan yang mendera, Siangalimuthu juga sedang berkabung setelah kehilangan insan yang disayangi.
“Saya kehilangan nenek ketika berusia 17 tahun dan saya sangat rapat dengannya,” kata Siangalimuthu sambil mengenang saat mereka tidur bersama dan menunggu bas sekolahnya setiap pagi.
“Hidup saya berlegar di sekelilingnya, kehilangannya membuat saya merasa kaku,” katanya, yang masih mengalirkan air mata setiap kali terlihat wajah mendiang nenek walau 13 tahun telah berlalu.
Walaupun hubungan toksik itu bernoktah setelah lelaki itu berpindah ke tempat lain untuk bekerja – perasaan diperalatkan dan seolah ada sesuatu yang tidak selesai kembali menghantui wanita itu ketika berdepan perpisahan seterusnya.

“Ia bukan tentang mengakhiri hidup saya, ia adalah tentang mengakhiri peperangan di fikiran saya dan itulah yang gagal difahami ramai orang tentang mereka yang bergelut dengan kemurungan,” jelasnya.
Siangalimuthu menjelaskan bahawa orang yang membunuh diri tidak mementingkan diri sebaliknya terlalu dikuasai rasa takut kerana bagi mereka membunuh diri adalah satu-satunya cara untuk mendiamkan suara jahat di minda mereka.
“Apabila orang berkata bahawa mereka yang membunuh diri ini tidak pernah memikirkan keluarga mereka dan orang lain – bagaimana mereka dapat melawannya jika mereka tidak pernah diberi kesempatan untuk menerima dan mendapatkan bantuan yang mereka perlukan?,” ujarnya.
Siangalimuthu bersyukur kerana masih bersama orang tersayang pada hari ini kerana dia dibantu setelah mendapatkan terapi.
Pada awalnya, tidak semua menyokong kerana ibu bapanya tetap ragu-ragu.

“Ibu bapa saya agak ragu-ragu dengan bantuan psikiatri ini dan saya masih ingat lagi kata-kata abang kepada mereka.
“Dia berkata ‘lebih baik dia balik dari klinik psikiatri daripada balik dalam keranda’,” jelasnya mengimbau kembali kenyataan berani itu, sambil mengakui abang dan sepupunya adalah penyokong terbesarnya.
Terapi bukanlah satu proses yang mudah kerana pada beberapa sesi awal Siangalimuthu hanya meraung tanpa mampu mengeluarkan kata-kata.
Lama-kelamaan dia diberi preskripsi untuk masalah kegelisahannya dan pil tidur, dalam masa sama mula berbicara mengenai perasaannya secara terbuka dan kembali menyayangi dirinya sendiri.
“Saya mula sedar akan tujuan hidup saya sekali lagi dan menyedari bahawa nilai diri ini bukan terletak di tangan orang lain atau apa-apa pun,” kata Siangalimuthu, sambil menambah dia kembali menemui kegembiraan dalam bidang pengajaran dan seni.
“Walaupun saya mempunyai rekod psikiatri, ia tidak bermaksud yang saya gila dan mula menerima emosi saya daripada menekannya,” katanya.
Pada tahun 2019, Siangalimuthu menyangka hidupnya akan berakhir akibat kemurungan yang dialaminya, namun kini dia bersinar lebih terang dari sebelumnya, menyemai rasa cinta pada diri sendiri sambil menyebarkan obor harapan menerusi pelajarnya dan menyentuh kehidupan dengan perhiasannya yang indah.
“Saya tidak perlu jadi kuat setiap masa, hakikatnya kita semua adalah manusia dan walaupun perjalanan itu masih panjang, saya kini berada di landasan yang betul,” katanya.
Sekiranya anda ingin menyokong impian Siangalimuthu sambil membantu untuk tujuan amal, kunjungi DashBeads untuk mendapatkan hasil ciptaannya yang berkilauan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]