
Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu didapati telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri bagi ‘Major Depressive Disorder’ (MDD) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Januari 2025.
Beliau turut mengesahkan lelaki itu kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital akibat patah tangan kanan dan luka di beberapa bahagian badan akibat kemalangan itu.
“Suspek masih hidup … (dan) sedang dirawat di HSNZ dan perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan tangan yang teruk,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 apabila selesai menjalani pembedahan dan benar-benar sihat.”
Dalam pada itu, Azli berkata, siasatan lanjut mendapati sebelum kemalangan, lelaki itu mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200 daripada sebuah kereta yang diletakkan di sekitar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada kira-kira 1.45 tengah hari.
Katanya, selepas mencuri barangan dan wang tunai tersebut, suspek masuk kembali ke dalam keretanya dan memecut kenderaan sehingga berlaku kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Kemajuan.
“Semakan oleh JPJ mendapati kereta Honda Jazz dipandu suspek milik adiknya, bukan kenderaan curi seperti yang didakwa dan ditularkan menerusi media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, Azli mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan suspek, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta telus.
Dalam kejadian pada 1.55 tengahari semalam, sebuah Perodua Viva dipandu Syakirah Hanan Mazli, 25, dari arah Unisza menghala ke Bukit Kecil dirempuh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan, ketika ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau.
Kemalangan itu mengakibatkan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Unisza itu meninggal dunia di lokasi kejadian.