Talian krisis tangani cubaan bunuh diri perlu sokongan kerajaan, kata NGO

Talian krisis tangani cubaan bunuh diri perlu sokongan kerajaan, kata NGO

Kebergantungan mereka kepada sukarelawan dan peruntukan yang terhad menyekat waktu operasi, latihan sukarelawan, peningkatan teknologi dan jangkauan.

customer-service-lifestyle-rawpixel pic 23825
Beberapa organisasi seperti Befrienders KL dan Miasa menyeru kerajaan menyediakan sokongan peruntukan bagi membolehkan organisasi itu menyediakan perkhidmatan talian bantuan lebih berkualiti. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Advokasi kesihatan mental menggesa kerajaan menyediakan perkhidmatan berasaskan sukarelawan bersama tambahan peruntukan bagi meningkatkan konsistensi dan kualiti talian bantuan bunuh diri.

Organisasi seperti Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) dan Befrienders KL memikul sebahagian besar penjagaan krisis kesihatan mental barisan hadapan melalui talian bantuan khusus mereka.

Bagaimanapun, kumpulan ini amat bergantung kepada tenaga sukarelawan dan beroperasi dengan peruntukan terhad, seterusnya menyekat waktu operasi, selain menghalang keupayaan melatih sukarelawan, akses kepada peningkatan teknologi dan jangkauan.

Alia Ali, pengasas Awareness Against Suicide Malaysia (Awas), berkata talian bantuan ini memainkan peranan penting dalam ekosistem kesihatan mental negara —tetapi mengingatkan bahawa ia berisiko memudaratkan berbanding memberi kebaikan jika tidak diurus dengan betul.

Warganet di platform media sosial seperti X dan Reddit mendakwa mereka perlu melakukan beberapa percubaan sebelum dapat dihubungkan ke talian bantuan itu.

Mereka juga mendakwa masa menunggu dan kurangnya respons daripada sukarelawan menjadikan usaha itu seperti ‘sia-sia’ walaupun cuba untuk mendapatkan bantuan.

Malah, ada juga mengatakan mereka lebih tertekan selepas membuat panggilan berkenaan.

“Ramai orang mengadu mereka tidak mendapat jawapan apabila mereka menghubungi talian ini. Seseorang pernah memberitahu saya bahawa mereka telah diminta membayar wang apabila menghubungi talian itu,” kata Alia.

“Saya tahu tak adil untuk mengatakan semua begitu, tetapi ia perlu diteliti. Pemanggil berada dalam keadaan lemah dan jika panggilan itu menyukarkan, ia boleh menyebabkan mereka lebih tertekan dan mendorong kepada perkara lebih buruk.”

Alia berkata, Awas menerima geran tahunan daripada Kementerian Kesihatan dan beberapa organisasi lain, walaupun dia enggan mendedahkan jumlah itu.

Sementara itu, Pengarah Publisiti Befrienders KL Joan Chen menekankan keperluan sokongan kerajaan yang berterusan dalam bentuk peruntukan, infrastruktur dan sokongan dasar bagi membolehkan organisasi meluaskan skop perkhidmatannya, mengukuhkan latihan sukarelawan dan meningkatkan kebolehcapaian.

Beliau berkata salah satu cabaran terbesar Befrienders KL ialah memastikan ia mempunyai cukup sukarelawan terlatih untuk melayan sejumlah besar panggilan yang diterima.

Chen berkata Befrienders menerima 30,607 panggilan pada 2024, purata kira-kira 84 panggilan sehari.

Beliau berkata kekurangan tenaga kerja sering menyebabkan pemanggil baharu tidak dapat menghubungi sistem, terutamanya apabila semua talian disambungkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.