
Ratu pecut tahun 1950-an, Choong merupakan wanita Malaysia pertama yang beraksi di sukan Olympik, ketika era di mana acara sukan dimonopoli kaum lelaki.
Beliau yang pada ketika itu berusia 22 tahun adalah satu-satunya atlet wanita di antara 32 peserta yang lain, ketika Malaya buat pertama kalinya menyertai sukan berprestij itu di Melbourne pada 1956.
Beliau bertanding dalam acara pecut 100-ela. Ya mungkin tersingkir dengan catatan masa 12.73 saat untuk menduduki tempat keempat. Namun, penyertaan beliau telah meninggalkan kesan kepada penglibatan wanita dalam acara sukan di tanah air.

Penyertaan negara dalam sukan Olimpik Rome empat tahun kemudian menyaksikan hanya sembilan peserta lelaki yang dihantar susulan kekangan dana. Empat daripada 62 atlet yang beraksi di Tokyo pada tahun 1964 adalah wanita.
Olimpik Tokyo adalah yang pertama dan terakhir menyaksikan Singapura beraksi sebagai sebahagian daripada Malaysia, di mana penyertaan Rajamani dalam acara lari 400 meter dan renang yang diwakili Jovina Tseng, Marny Jolly dan Molly Tay meninggalkan kesan yang positif dalam sukan negara membabitkan wanita.
Rekod 57.8 saat yang dicatatkan Rajamani dalam acara larian jarak jauh adalah pencapaian yang membanggakan sehingga tahun 1960, di mana Majlis Olimpik Antarabangsa mengharamkan penglibatan wanita dalam acara larian melebihi 200 meter kerana percaya ia tidak bersesuaian dengan mekanisme tubuh wanita.
Kini, buat pertama kalinya, atlet wanita adalah majoriti dalam kontinjen Olimpik negara yang akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 18 Julai ini.

Daripada 30 atlet dalam kontinjen negara 18 daripadanya adalah wanita. Ini sekaligus memberi gambaran tahap sukan wanita di Malaysia pada ketika ini.
Choong berkata beliau gembira dengan perkembangan ini kerana wanita kini dilihat sama penting dengan lelaki untuk mewakili negara dalam sukan berprestij ini.
“Tidak ramai wanita yang menyertai sukan pada zaman saya. Saya harap mereka akan terus memberi inspirasi kepada wanita di negara ini untuk bertanding di pentas global,” jelas Choong yang kini berusia 87 tahun. Nama beliau turut diabadikan dalam Majlis Olimpik Malaysia “Hall of Fame” 2017.
65 tahun lalu, Choong menyertai acara pecut 100 dan 200 meter. Beliau juga mewakili negara dalam acara lompat tinggi dan lompat jauh ketika wanita tidak digalakkan untuk menyertai acara sedemikian.
Dalam konteks yang lebih besar, Choong inginkan perjuangannya mewakili negara pada era dunia sukan dikuasai lelaki dapat dihargai generasi kini.
Beliau berharap, kekangan kewangan, tiada sokongan kerajaan dan jurang gender yang besar tidak menjadi penghalang kepada atlet wanita, sekaligus mengakibatkan mereka berputus asa dalam perjuangan.
Mengenang kembali nostalgia silam, beliau memberitahu, ayahnya membeli pakaian sukan dan basikal untuk memudahkan dirinya bergerak dari rumahnya di Kampung Baru ke tempat kerja di Ampang serta ke Cheras untuk menghadiri sesi latihan.
Beliau terpaksa membahagikan masa antara kerja dan latihan, dimana beliau menjalani sesi latihan tujuh hari seminggu di bawah pengawasan jurulatih Lim Thye Hee and Lee Fun, masing-masing melatihnya dalam acara pecut dan lompat jauh.

Cabaran terbesar bagi Choong dan atlet lain yang menyertai Olimpik Melbourne pada ketika itu adalah peruntukan yang terpaksa ditanggung sendiri bagi menyertai acara sukan dunia itu.
Memandangkan kerajaan tidak menyediakan sokongan kewangan, mereka terpaksa mengadakan kutipan melalui sumbangan rumah ke rumah.
Choong berkata pemilik kedai di sepanjang Batu Road, Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Rahman) sangat bermurah hati menyumbangkan antara RM5 ke RM100. Mungkin mereka punya harapan besar bahawa saya mewakili para wanita di sini ke Sukan Olimpik”.
Atlet lelaki dalam acara olahraga termasuk , Lee Kah Fook (100m/200m), Raja Azlam Ngah Ali (100m), Sinnayah Karuppiah Jarabalan (100m), Abdul Rahim Ahmad (400m), Kenneth Perera (400m/800m) dan Manikavagasam Harichandra (800m).
Di Melbourne, mereka diberikan elaun harian sebanyak $5, namun insentif yang mereka harapkan ialah untuk mendengarkan lagu kebangsaan didendangkan di pentas dunia. Namun, ia tidak berlaku.
“Saya mengambil bahagian demi mengharumkan nama negara tanpa memikirkan keuntungan peribadi,” tambah Choong, yang turut mewakili Malaya dalam Sukan Asian kali kedua di Manila pada tahun 1954 (lompat jauh dan lari berganti-ganti 4x100m) dan kali ketiga yang diadakan di Tokyo pada 1958 (100m dan 200m).

Choong berkata memandangkan atlet kini dilayan dengan baik dan menikmati pelbagai kemudahan sukan, mereka harus berusaha untuk membawa nama baik negara ke persada antarabangsa dan membebaskan diri dari mentaliti yang mengharapkan sesuatu dari perjuangan itu.
Adakah beliau merindui sukan pecut?
Ratu pecut itu menyertai acara sukan bermotor selepas bersara pada tahun 1960. “Di umur saya sekarang , saya masih memandu”.
Sebelum Covid 19, Choong mengisi waktu lapangnya dengan bersenam bersama warga emas yang lain di kawasan kediamannya di Kelana Jaya bagi memastikan kesihatan dirinya terjaga.
Beliau kini lebih banyak mengabdikan diri dengan kerja-kerja di gereja.
“Sukan saya kini terhad kepada menonton perlawanan bola sepak di televisyen. Saya ternanti-nanti untuk menyaksikan sukan Olimpik Tokyo dan berharap atlet negara dapat beraksi dengan baik,” jelas Choong.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]