Badan amal terbesar negara ‘kekeringan’ dana bantu ribuan rakyat kelaparan

Badan amal terbesar negara ‘kekeringan’ dana bantu ribuan rakyat kelaparan

Sejak mula perintah sekatan pergerakan, Makan Kongsi 2.0 telah menyelamatkan 20,932 nyawa, namun lanjutan PKP menyebabkan dana semakin meruncing dan senarai menunggu keluarga kelaparan semakin panjang.

Bantuan tidak mengenal sempadan kerana bantuan Makan Kongsi 2.0 pernah sampai hingga ke Semporna. (Gambar Makan Kongsi 2.0)
KUALA LUMPUR:
“Jika saya membunuh diri, isteri dan anak-anak saya akan turut serta.”

Ini adalah kata-kata memilukan yang didengar sendiri Pengerusi badan amal Makan Kongsi 2.0, Law Gin Kye, 51, dan isterinya dari seorang ayah yang hampir tewas akibat bergelut dengan tekanan hidup.

Ayah yang tidak bekerja itu sudah habis ikhtiar dan hanya terfikir untuk membunuh diri selepas semua barang di rumahnya habis dijual, semata-mata untuk memberi isteri dan dua anaknya makan, namun ia masih tidak mencukupi.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu meragut nyawa rakyat di seluruh negara dengan kadar bunuh diri harian kini mencecah empat kes sehari ditambah tempoh lanjutan yang tidak menentu.

Tambah menyulitkan individu dan keluarga mempunyai anak yang kelaparan dan peti sejuk kosong.

Makan Kongsi bermula pada tahun 2020 ketika PKP pertama, tetapi tahun ini mereka kembali lagi dengan pasukan baharu dan akan membantu lebih ramai penerima berbanding sebelumnya. (Gambar Makan Kongsi 2.0)

Pengangguran, kemiskinan dan tekanan yang teruk, mengakibatkan ribuan terus diasak kesempitan hidup sehingga ada yang tidak dapat lagi bertahan untuk melihat hari esok.

“Dia hampir menjadi sebahagian statistik orang yang telah membunuh diri,” kata Law sambil mengenang desakan hidup yang dialami penganggur itu.

Syukurlah, jiran yang prihatin menghubungi talian hotline Makan Kongsi 2.0 dan pasukan Law segera tampil ke hadapan untuk memberikan bantuan makanan.

Apa yang lebih penting lagi adalah komuniti yang menyokong keluarga yang sedang berdepan kesukaran itu.

Dugaan yang dilalui bapa ini hanyalah satu daripada 20,932 keluarga dan individu yang pernah diselamatkan oleh Makan Kongsi 2.0 sejak minggu pertama perintah sekatan pergerakan pada 7 Jun lalu.

Baru-baru ini, rayuan seorang ibu disahut dalam masa sehari setelah dia menghantar gambar-gambar peti sejuk yang kosong dan dua anaknya yang lapar. (Gambar Makan Kongsi 2.0)

“Keluarga yang paling rentan adalah keluarga yang tidak mempunyai sistem sokongan dan mereka tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

“Tetapi apabila kami menghubungkan mereka dengan rakan kerjasama lain di lapangan, perhubungan terjalin, jadi walaupun program kami sudah berakhir, sistem sokongan akan tetap ada bagi mereka yang memerlukan,” jelas Law.

Melalui bantuan 77 rakan kongsi yang terdiri daripada Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan Individu Bukan Kerajaan (NGI) dari seluruh negara, Makan Kongsi 2.0 menjadikan mereka mampu memberi maklum balas kepada insan yang sangat memerlukan dalam skala nasional.

“Setelah mengenalpasti komuniti yang memerlukan, rakan setugas kami di wilayah tersebut akan melakukan penghantaran dan memenuhi keperluan tersebut,” kata Law, menjelaskan bagaimana Makan Kongsi 2.0 mengatur bantuan makanan di seluruh negara walaupun berpusat di Kuala Lumpur.

“Kami bekerja dengan NGI kerana ada ramai insan yang baik hati di lapangan dan kami menyedari bahawa walaupun mereka tidak mewakili sebarang organisasi, mereka benar-benar ingin membantu,” jelasnya lagi.

Makan Kongsi 2.0 berada di setiap negeri kecuali Perlis dan Terengganu malah mereka turut menyeberangi lautan untuk menghantar makanan kepada suku Bajau Laut yang kelaparan di pesisir pantai Semporna.

Penduduk Bajau Laut di Semporna yang kelaparan sebelum rakan Makan Kongsi 2.0 tiba dengan kapal yang dipenuhi bekalan makanan. (Gambar Makan Kongsi 2.0)

Sehingga hari ini, Makan Kongsi 2.0 telah menerima sumbangan sebanyak RM353,356.67.

Terima kasih kepada rakan kongsi dan penderma yang bermurah hati dan 95% daripada dana ini telah diagihkan kepada yang memerlukan.

Harga untuk memberi makan kepada satu hingga dua keluarga adalah RM50, manakala RM100 dapat memastikan lima sekeluarga dapat bertahan selama dua minggu lagi.

Keluarga B40, pekerja asing, pelarian, orang asli dan sesiapa sahaja yang memerlukan berhak menerima makanan asas seperti beras, mi segera, minyak masak, garam, gula, makanan dalam tin, dan juga susu tepung untuk mereka yang menyusu bayi yang baru lahir.

Makan Kongsi 2.0 berkata 100% dana mereka digunakan untuk bantuan makanan dan sebarang perbelanjaan perjalanan atau bayaran masuk adalah dengan duit mereka sendiri.

Makan Kongsi 2.0 dianjurkan bersama The Good Kitchen dan Engage serta disokong oleh Bersih 2.0. (Gambar Makan Kongsi 2.0)

“Setiap permohonan disemak dengan betul untuk memastikan ia benar-benar diperlukan segera dan tulen, supaya dana ini dapat disalurkan kepada mereka yang paling rentan.

“Kami bertemu setiap malam dan jika kami mendapat dana, keputusan dibuat pada malam itu juga supaya pemohon dapat menerima dana tersebut pada hari berikutnya,” kata Law.

Malangnya, minggu lalu tabung yang diusahakan Law dan pasukannya kering kerana mereka tidak menjangkakan PKP akan dilanjutkan.

“Rayuan untuk mendapatkan bantuan yang kami terima setiap hari sangat luar biasa, terutamanya dengan lanjutan PKP penuh kerana kami fikir sekurang-kurangnya kelonggaran akan diberikan untuk orang ramai kembali bekerja,” kata Law dengan nada sedih.

“Hingga kini kami telah menerima sebanyak 125 permohonan dari rakan lain, malangnya hanya 77 yang dapat kami penuhi. Sebahagian lagi perlu kami tunda termasuk ribuan keluarga yang masih menunggu bantuan makanan.”

Law berkata walaupun dia dan pasukannya komited untuk menjawab sebanyak mungkin panggilan, dia berharap orang ramai dapat membantu menyebarkan berita mengenai Makan Kongsi 2.0 ketika mereka sedang mencari rakan baru untuk menyertai mereka dan menyumbang.

“Selagi ada keperluan dan kami ada sumbernya, kami akan menyahut seruan itu,” tegas Law.

Kepada mereka yang ingin membantu Makan Kongsi 2.0 supaya mereka dapat terus menyelamatkan nyawa pada skala nasional, sumbangan boleh dibuat secara digital atau ke:

Public Bank 3816630332
ENGAGE NETWORK
RUJUKAN: Makan Kongsi 2.0

Keluarga yang terkesan atau individu yang ingin menghubungi Makan Kongsi 2.0 boleh berbuat demikian melalui Facebook atau hubungi +60 16-212 6122.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.