Adun PKR mahu GMS jadi inisiatif putus monopoli, manipulasi harga makanan

Adun PKR mahu GMS jadi inisiatif putus monopoli, manipulasi harga makanan

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata ia supaya rakyat tidak terus terbeban dengan permainan harga makanan pihak yang kaut keuntungan melampau.

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad
Adun Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata kerajaan negeri tidak boleh hanya beri tumpuan kepada aspek sekuriti makanan semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah kedaulatan makanan.
SHAH ALAM:
Kerajaan negeri perlu menjadikan insiatif Gudang Makanan Selangor (GMS) bukan sekadar menjadi stor simpanan, sebaliknya berfungsi memutuskan rantaian monopoli kartel dan orang tengah yang memanipulasi harga makanan.

Adun Lembah Jaya dari PKR, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata inisiatif itu juga perlu diperkasakan supaya rakyat tidak terus terbeban dengan permainan harga oleh pihak yang mengaut keuntungan melampau dalam rantaian bekalan makanan.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada aspek sekuriti makanan semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah kedaulatan makanan yang memberi hak kepada rakyat menentukan sendiri sistem pengeluaran makanan mereka.

“Saya mendesak agar Gudang Makanan Selangor tidak sekadar menjadi stor simpanan, tetapi menjadi alat pemutus rantaian monopoli ini.

“Kerajaan negeri harus memastikan pengedaran barangan terus kepada rakyat dan usahawan kecil tanpa kacau ganggu parasit ekonomi yang mencekik leher marhaen,” katanya Ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di persidangan DUN Selangor,.

Pada Mac tahun lalu, Selangor menjadi negeri pertama menyediakan gudang makanan dalam usaha memperkukuhkan sistem keselamatan bekalan karbohidrat serta protein terutama ketika berdepan situasi kecemasan luar jangka.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, GMS hasil usaha Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di Gudang Tiong Nam Logistics, akan menempatkan sejumlah 5,000 tan metrik beras dan satu juta kilogram daging sejuk beku dalam tempoh yang ditetapkan.

Pelaksanaan GMS adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan, memperbaiki sistem bekalan dan memastikan harga bahan makanan kekal berpatutan khususnya bagi golongan memerlukan.

Sementara itu, Syed Ahmad yang dikenali sebagai Altimet juga menggesa kerajaan negeri menyemak semula kadar bantuan ihsan bagi mangsa bencana tanah runtuh, banjir dan kebakaran supaya lebih setimpal dengan kerosakan dialami.

Katanya, kadar bantuan sedia ada di bawah pejabat daerah sering kali tidak mencukupi untuk memulihkan kerosakan struktur rumah atau mengganti kerugian harta benda.

“Saya mencadangkan agar bantuan ini dinaikkan dan diselaraskan mengikut skala kerosakan dan tahap bencana secara lebih adil.

“Biarlah hasil negeri yang mencecah bilion ringgit itu mengalir sebagai ubat kepada luka rakyat yang hilang tempat berteduh, bukan sekadar bantuan melepas batuk di tangga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.