
Ketika kita sedang bergembira membuat pelbagai persiapan Hari Raya, ada segelintir keluarga masih lagi bingung memikirkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan selepas ini.
Lebih-lebih lagi apabila sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini yang menyebabkan sebahagian besar periuk nasi peniaga terjejas.
Kesukaran itu turut dirasai oleh bapa tujuh anak yang menyara hidup mereka sebagai peniaga kecil-kecilan di Blok A PPR Perkasa, Cheras.
Kisah mereka menjadi tular di media sosial selepas FS Channel mendekati keluarga itu sambil menghulurkan bantuan wang tunai.
Bapa terbabit dikenali sebagai Ameer turut dibantu oleh anaknya yang menjual dadih pelbagai perisa dengan harga RM1 selain kuih raya.
Biarpun pendapatan yang diperolehi setiap hari tidak seberapa namun lelaki itu tetap bersyukur kerana mampu menjual 120 dadih setiap hari.
Sewaktu dua wakil daripada FS Channel mengunjungi keluarga ini, mereka terkejut kerana harga diletakkan terlalu murah namun Ameer menganggap ianya sebagai satu sedekah kepada semua pelanggan.
“Pada hari biasa, selalunya 120 dadih habis terjual. Walaupun ketika PKP jualan berkurangan namun rezeki daripada Allah tetap ada.
“Kita meletakkan harga RM1 saja kerana ingin mencari rezeki daripada Allah selain berniat untuk bersedekah kepada orang,” jelasnya yang tinggal di tingkat 14.
FS Channel kemudiannya meminta Ameer menginfakkan semua 75 dadih yang tinggal kepada penduduk sekitar sebelum dikejutkan dengan pemberian wang tunai sebanyak RM700 bersama duit raya kepada anak-anaknya.
Ia menyebabkan dia tidak dapat menahan air mata kerana amat terharu dengan pemberian yang tidak disangka-sangka itu.
Walaupun susah, Ameer sempat menyatakan hasratnya untuk membantu orang lain seperti dilakukan FS Channel.
Video berdurasi 10 minit yang menyentuh perasaan itu mendapat tontonan sebanyak 457,000 kali selain memperolehi 27,000 tanda suka sewaktu kisah ini ditulis.
Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan menerusi Yayasan Maghfirah di akaun Bank Islam bernombor 12300010011304 dengan rujukan ‘BantuPeniaga’.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]