
Tiada yang lebih menggembirakan buat pendakwah bebas terkenal, Ebit Lew apabila mendapat kejutan istimewa dengan pemberian dua buah Toyota Hilux berwarna hitam untuk kegunaan misi kemanusiaannya.
Menerusi perkongsian terbaru di Facebook, dia menerima rezeki yang tidak disangka-sangka itu daripada individu bernama Nur Sakinah serta beberapa sukarelawan daripada Petronas.
Menurutnya, pemberian yang diterima sebaik selesai solat sunat Tarawih itu dianggap sebagai keberkatan sempena bulan Ramadan.
“Sebak terharu syukur sangat rasa Allah beri rezeki tak sangka-sangka di tengah malam selepas Tarawih.
“Selalu beri hadiah pada orang lain. Tiba-tiba sejuk berkat Ramadhan waktu malam ni.
“Puan Nur Sakinah dan beberapa sahabat sukarelawan yang baik sangat daripada Petronas serta keluarga hadiahkan dua Toyota Hilux baru warna hitam untuk kegunaan misi kami. Cantik Hilux ni,” tulisnya.
Menceritakan lebih lanjut, Ebit berkata dia cuba dihubungi oleh Nur Sakinah sejak Oktober tahun lalu untuk menyertai misi kemanusiaan dilakukannya.
Katanya, wanita itu berusaha untuk menyalurkan bantuan berkenaan dengan menghubunginya di Facebook dan Instagram sebelum berjaya menyampaikan hadiah istimewa terbabit.
“Susah payah tengah malam hantar ke rumah saya. Saya tersenyum seorang apabila fikir mengenai kasih sayang Allah. Terima kasih ya.
“Menurut Nur Sakinah, sejak Oktober lagi dia ingin bersama dalam misi kemanusiaan ini dan meninggalkan mesej di Facebook dan Instagram. Akhirnya Allah temukan kami,” tulisnya lagi.
Ebit Lew berkata, pemberian itu dapat membantunya serta beberapa sukarelawan lain untuk melakukan perjalanan lebih lancar bagi meredah kawasan pedalaman, hutan serta bencana.
“Kasihan pada mereka. Pelbagai kisah di jalan raya hingga ada yang terpaksa meninggalkan kereta di mana-mana akibat rosak atau kemalangan. Namun, mereka tetap gembira berkhidmat tanpa mengharapkan apa-apa.
“Paling utama doa daripada semua. Itulah hadiah paling berharga. Kita bantu seramai mungkin. Biar suara orang miskin dan anak yatim menjadi sangat berharga.
“Doa mereka menyebabkan pertolongan dan rahmat Allah datang dalam hidup kita. Terima kasih semua yang selalu mendoakan dan bersama saya selama ini. Terima kasih Allah,” tulisnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]