Dedikasi dua jam sehari untuk 100 kucing jalanan

Dedikasi dua jam sehari untuk 100 kucing jalanan

Gadis berusia 26 tahun itu bukan hanya pemberi makanan tetapi penyelamat persendirian buat kucing-kucing jalanan di Pantai Cahaya Bulan.

Nor Izyan Syahida sedang memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Dia bukan seorang figura terkenal mahupun selebriti, namun kehadirannya amat dinantikan ratusan ‘peminat’ setia di Pantai Cahaya Bulan dan kerana itulah hampir setiap petang dia akan berkunjung ke situ.

Sejak setahun lalu, menjadi rutin harian Nor Izyan Syahida, datang bersama ‘buah tangan’ buat peminatnya, iaitu lebih 100 ekor kucing jalanan yang rata-rata dibuang pemilik asal, malah ada yang sakit dan amat memerlukan rawatan.

Gadis berusia 26 tahun itu bukan hanya pemberi makanan tetapi penyelamat persendirian buat kucing-kucing jalanan.

Menurut Nor Izyan Syahida, kali pertama dia datang ke lokasi tersebut kira-kira setahun yang lepas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua kilogram makanan kucing yang dibawanya habis dalam tempoh singkat.

“Ketika itu, saya lihat sendiri bagaimana kucing di sini mencari makanan, ada yang menyelongkar tong sampah di sekitar lokasi ini tetapi makanan tidak ada. Tersentuh melihat perkara tersebut, saya teruskan aktiviti memberi makanan dan minuman kepada kucing di sini sehingga ke hari ini,” katanya.

Meskipun terpaksa berulang-alik kira-kira 24 kilometer dari kediamannya di Kampung Langgar ke lokasi tersebut, serta meluangkan masa dua jam melakukan aktiviti itu setiap hari, Nor Izyan Syahida tidak kisah asalkan niat membantu mamalia tersebut dapat dicapai.

“Bantuan untuk makanan kucing disumbangkan oleh “Dady Oyen Strays Malaysia”, mereka akan agihkan kepada kucing jalanan di seluruh negara termasuk kepada saya.

“Selain itu, sumbangan turut diterima dari orang awam yang terpanggil untuk turut sama menyalurkan bantuan kepada kucing jalanan di sini. Secara purata sejumlah RM150 diperlukan sehari untuk membeli makanan basah dan kering buat kucing di sini, tidak termasuk ubat-ubatan,” katanya yang mendapat sokongan kuat ahli keluarganya untuk menjalankan aktiviti itu.

Apa yang lebih menarik lagi, Nor Izyan Syahida bukan sahaja meluangkan masa untuk memberi makanan, malah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, turut memberi rawatan segera kepada kucing yang memerlukan.

“Selain makanan, setiap kali datang ke sini saya turut membawa ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat tahan sakit, vitamin, penggalak imunisasi dan makanan pelengkap.

“Ini kerana ada kucing di sini yang memerlukan rawatan kerana menghidapi penyakit seperti selesema, demam, sakit mata, cirit-birit, kurap, penyakit kulat ‘sporotrichosis’ serta diserang virus parvo. Jika kucing mengalami gejala sakit yang ringan, saya akan rawat terus di sini, namun jika penyakit lebih teruk saya akan bawa pulang seterusnya bawa ke klinik verterinar,” katanya.

Setahun menghulurkan bantuan kepada kucing jalanan, Nor Izyan Syahida terus tekad untuk meneruskan aktiviti tersebut, namun amat mengharapkan masyarakat lebih peka untuk tidak membuang mamalia tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.