
Kita sentiasa melihat titik-titik timbul yang disusun dalam corak tertentu
tetapi kita tidak tahu apa maksudnya.
Mungkin anda dapat melihat, tetapi tidak dapat membacanya – ini kerana ia dikhususkan untuk orang yang tidak dapat melihat.
Berabad lamanya, mungkin millennium, menjadi buta seperti satu pengakhiran di mana pembelajaran adalah sesuatu yang sangat mustahil.
Sedang yang celik boleh membaca buku yang dicetak, golongan cacat penglihatan sering ditinggalkan tanpa bahan pembelajaran lain.
Mereka seperti tiada masa depan, mengakibatkan terpaksa mengemis di jalanan untuk hidup. Jika ada yang berjaya mendapat pendidikan pun, hanya sebilangan kecil.
Kelahiran Louis Braille
Louis Braille lahir sebagai seorang bayi yang sihat pada 1809. Pada masa itu, keadaan sangat bergolak ketika Napoleon Perancis berperang melawan sebahagian besar Eropah, hidup Braille dihabiskan di rumah.
Namun, satu kemalangan tragis telah menimpa Braille pada tahun 1812 apabila dia memasuki bengkel ayahnya. Sambil melihat-lihat kotak peralatan ayah, Braille tidak sengaja menusuk matanya dengan sejenis jarum (awl).
Dia tidak hanya hilang penglihatan tetapi jangkitan dari mata itu merebak ke mata yang satu lagi dan menyebabkan dia buta pada usia lima tahun.

Di sebalik kejadian yang tidak disengajakan ini, keluarga Braille tetap membantunya dan dia sebenarnya menjalani kehidupan yang agak normal dan dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan.
Dia seorang pelajar yang baik tetapi keadaan matanya menyebabkan dia sukar untuk belajar, hanya mendengar. Walaupun begitu, dia berjaya mendapatkan biasiswa ke “Royal Institution for Blind Youth” di Paris ketika berusia sepuluh tahun.

Pada masa itu, memang telah ujud buku untuk orang buta tetapi mereka menggunakan sistem tulisan yang memiliki huruf besar yang menonjol keluar dari kertas.
Walaupun boleh dibaca, ia tidak praktikal kerana memerlukan masa yang lama untuk mengesan setiap huruf.
Braille kemudian mula mencari kemungkinan sistem tulisan yang lebih baik untuk menggantikan sistem lama.
Kebetulan, semasa Perang Napoleon, seorang kapten Perancis bernama Charles Barbier datang untuk mengekod surat ketenteraan yang tidak dapat dibaca oleh sesiapa pun.
Dia melakukannya dengan memasukkan lubang ke dalam kertas yang menghasilkan mesej yang hanya dapat dibaca dengan meletakkan hujung jari di atas kertas tersebut.
Walaupun ideanya tidak pernah berkembang selama perang, ia memberi inspirasi kepada Braille untuk mencipta sistem tulisannya sendiri.
Dia meringkaskan idea Barbier dan membuat titik-titik timbul disusun dalam corak – semuanya berada dalam grid dua dan tiga baris.
Ironinya, Braille menggunakan sejenis jarum (awl) untuk membuat titiknya timbul, alat sama yang menyebabkan dia buta dan alat itu jugalah yang membantu dia membaca.

Apabila selesai menyempurnakan sistemnya, Braille baru berusia 15 tahun dan setelah lulus dari sekolah, dia kembali mengajar mereka yang cacat penglihatan sepertinya.
Walaupun sistem tulisan Braille kelihatan hebat, namun ia tidak dilaksanakan dengan segera. Popularitinya perlahan namun ia telah digunakan dalam pembelajaran matematik, sains dan muzik.
Malangnya, Braille mengidap tuberculosis pada usia 43 tahun. Dua tahun setelah meninggal, barulah sistemnya dikenali pemerintah Perancis dan sekolah mula mengajar sistem tulisan tersebut kepada pelajar.

Hari ini, mereka yang cacat penglihatan di seluruh dunia diajar membaca Braille, yang telah disesuaikan untuk lebih dari 130 bahasa.
Warisan Braille tidak dilupakan, mayatnya dikebumikan di Pantheon Paris, sebuah makam dikhususkan untuk warganegara Perancis yang terkenal.
Oleh kerana bulan Januari adalah ‘Bulan Literasi Braille’, mungkin inilah masa yang tepat untuk berterima kasih kepada pengetahuan yang kini boleh dinikmati oleh semua orang, samada yang buta atau celik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]