Lawatan PM ke 3 negara tingkat pengaruh global Malaysia, kata ahli geostrategis

Lawatan PM ke 3 negara tingkat pengaruh global Malaysia, kata ahli geostrategis

Azmi Hassan berkata persetujuan presiden Brazil dan perdana menteri Itali hadir ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 bukti pengiktirafan kepada Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS 2025 berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini dilihat berkesan meningkatkan pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa, kata geostrategis.

Azmi Hassan berkata, lawatan tersebut yang turut membawa nama Asean diberi pengiktirafan susulan persetujuan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni hadir ke sidang kemuncak ke-47 blok itu di Kuala Lumpur, Oktober depan.

Menurut felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu, perkembangan berkenaan menunjukkan pengaruh Anwar di pentas antarabangsa dalam meningkatkan imej Malaysia dan Asean yang kini aktif meneroka pasaran dunia.

“Ini patut dilihat pengkritik yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bersifat dangkal dan naif,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan keberkesanan lawatan diplomatik oleh ketua negara tidak boleh dinilai semata-mata dengan jumlah pelaburan.

“Kritikan itu saya kira naif dan dangkal kerana pertemuan bersemuka penting.”

Lawatan rasmi perdana menteri ke tiga negara berkenaan bermula di Itali pada 1 Julai dan berakhir di Brazil pada 7 Julai berjaya membuka peluang pelaburan baharu, dengan potensi melebihi RM8 bilion di Itali, manakala di Perancis anggaran potensi pelaburan mencecah kira-kira RM4 bilion.

Di Brazil, Anwar menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS 2025 sebagai kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.

BRICS adalah kesatuan ekonomi terdiri lima negara iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Ahli ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, lawatan rasmi ke tiga negara itu membuka laluan kepada pelaburan berkualiti, perkongsian teknologi serta pengukuhan hubungan Malaysia dengan blok ekonomi baharu seperti BRICS.

“Lawatan seperti ini bukan sekadar simbolik, tetapi memberi mesej jelas Malaysia sedia memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk masa depan ekonomi global lebih seimbang dan inklusif,” kata pengarah program sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) Putra Business School.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh kekal statik dalam ekosistem ekonomi global yang semakin dipengaruhi oleh perubahan kuasa serantau.

Katanya, Malaysia perlu bijak menyesuaikan dasar luar dan ekonominya bagi mengekalkan daya saing dan tidak terlalu bergantung kepada kuasa tunggal.

Menurutnya, keterlibatan aktif Malaysia dalam BRICS dan forum ekonomi serantau mampu membawa manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan limpahan ekonomi secara menyeluruh.

“Lawatan seperti ini pelaburan jangka panjang untuk negara yang menandakan komitmen pemerintah membina masa depan ekonomi lebih saksama, mampan dan dinamik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.