
Beliau berkata, penyambungan rundingan yang terhenti pada 2012 menandakan kedua-dua pihak mempunyai keyakinan sama terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan sebagai pemangkin kemakmuran dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.
“Setelah selesai, perjanjian ini akan memperdalam hubungan industri, mengukuhkan rantaian bekalan dan memupuk kerjasama kukuh serta saling menguntungkan antara Malaysia dengan Perancis,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Perancis Malaysia anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia di sini, malam tadi.
Menurutnya, 149 projek dengan syarikat Perancis dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2025 yang berjumlah RM6.3 bilion serta mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan.
Beliau berkata, Perancis merupakan pelabur keempat terbesar Malaysia dan juga rakan dagang keempat terbesar di negara ini.
Jelasnya, pelaburan syarikat Perancis di Malaysia bukan sekadar modal, sebaliknya mencerminkan keyakinan dalam kerjasama dan cita-cita bersama.
“Kami ingin mendorong sektor pembuatan maju, peralihan tenaga serta industri digital dan pada masa sama menarik pelaburan berkualiti.
“Oleh itu, kami menghargai kepakaran Perancis dalam aeroangkasa, tenaga dan teknologi, selain mengalu-alukan kerjasama lebih mendalam dalam pembuatan hijau, teknologi bersih serta inovasi industri.”