Banduan lolos dalam beg dobi ditahan semula

Banduan lolos dalam beg dobi ditahan semula

Lelaki itu bersembunyi dalam beg dobi besar, selepas rakan selokapnya minta troli untuk bawa barangan peribadinya ke kereta datang menjemputnya.

prison
Pendakwa raya mengumumkan banduan itu ditahan semula ketika keluar dari sebuah bilik bawah tanah di sebuah kampung di selatan Perancis. (Gambar fail)
PARIS:
Seorang banduan licik yang meloloskan diri dari penjara di Perancis dengan bersembunyi dalam beg dobi ditahan semula, kata pihak berkuasa pada Isnin menurut laporan agensi berita Jerman (dpa).

Seorang banduan lelaki berusia 20 tahun diseludup keluar dari penjara Lyon Jumaat lalu melalui beg milik rakan selokapnya yang dibebaskan ketika itu.

Namun, dia bebas tidak lama. Menurut stesen penyiaran BFMTV pada Isnin, pendakwa raya mengumumkan banduan itu ditahan semula di sebuah kampung di selatan Perancis.

Pasukan polis khas yang ditugaskan memburu pelarian dikerahkan menjejaki dan menangkapnya ketika sedang keluar dari sebuah bilik bawah tanah.

Banduan itu sedang menjalani beberapa hukuman penjara dan turut disiasat atas kesalahan jenayah terancang.

Menurut akhbar Le Progres, dia disyaki terbabit kes pembunuhan berganda.

Insiden dia melarikan diri dari penjara sesak itu Jumaat lalu hanya disedari lebih 24 jam kemudian.

Menurut akhbar Le Parisien, lelaki itu meloloskan diri dengan bersembunyi dalam sebuah beg dobi besar, selepas rakan selokapnya meminta troli daripada kakitangan penjara untuk membawa keluar banyak barangan peribadinya ke kereta datang menjemputnya selepas pembebasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.